Panas! Amirudin fail saman fitnah terhadap Sanusi

Panas! Amirudin fail saman fitnah terhadap Sanusi

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah itu yang mengaitkan beliau dengan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan dalam projek pembersihan Sungai Klang.

Peguam mewakili Amirudin, Haijan Omar ketika dihubungi mengesahkan perkara terbabit dengan saman itu sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Haijan berkata, salinan writ saman juga sudah diserahkan kepada peguam yang mewakili Muhammad Sanusi dari Tetuan Faizi Associates.

“Kita sudah memfailkan saman dan prosedur tertentu dan akan diikuti proses seperti defendan perlu memasukkan memorandum kehadiran.

“Mahkamah menetapkan 3 Oktober ini untuk pengurusan kes, ” katanya, di sini hari ini.

Pada 9 Ogos lalu, pasukan peguam Amirudin menyampaikan surat tuntutan kepada Muhammad Sanusi memohon defendan memohon maaf dalam tempoh 48 jam dan membayar ganti rugi RM10 juta.

Ia susulan ucapan Muhammad Sanusi pada 2 Ogos lalu dalam Jelajah Mega PN Best ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ yang membuat dakwaan mengenai skandal antara Amirudin dan Vincent yang mahu melaksanakan projek bernilai RM10 bilion di Sungai Klang.

Dalam writ saman itu, Amirudin selaku plaintif menuntut defendan ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan, serta perintah injunksi untuk menghalang pemimpin PAS itu daripada mengulangi dakwaan berkenaan.

Katanya, penyataan fitnah itu diucapkan defendan bagi merendahkan reputasi plaintif di mata masyarakat atau mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan serta dicetuskan oleh niat jahat.

“Akibat daripada penyataan fitnah itu, plaintif terdedah kepada caci maki yang meluas dan cemuhan atas talian… ia menyebabkan rasa malu, tekanan mental, keperitan, trauma mental dan kegelisahan kepada plaintif dan ahli keluarganya,” katanya.