Panas!!! Anggap menteri pendidikan macam ‘sampah’, Zaid minta Radzi Jidin segera letak jawatan

Panas!!! Anggap menteri pendidikan macam ‘sampah’, Zaid minta Radzi Jidin segera letak jawatan

Menteri Pendidikan Radzi Jidin perlu meletakkan jawatan, memandangkan situasi semasa pendidikan di negara ini dianggap “menyedihkan”, kata Zaid Ibrahim.

Zaid, yang juga seorang bekas menteri, berkata tiada keputusan dan hala tuju jelas dibuat berkenaan pendidikan sepanjang dua tahun Radzi menjaga portfolio itu.

“Saya rasa beliau tidak berguna langsung. Beliau sepatutnya meletakkan jawatan dan biarkan orang lain pula buat kerja itu,” katanya kepada FMT.

Zaid berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sehingga kini tidak mengemukakan cadangan bagi menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah dimansuhkan, malah tiada cara untuk menilai prestasi murid-murid Tahun Enam.

“Apa yang hendak anda lakukan dengan murid-murid ini sekarang? Bagaimana hendak tetapkan tanda aras bagi mereka? Guru-guru juga bertanya soalan sama,” katanya.

Satu isu lagi, kata Zaid, adalah pengumuman pembukaan semula sekolah secara berperingkat bermula 1 Sept, keputusan yang disifatkannya sebagai “melepaskan batuk di tangga”, dengan tiada pelan tepat dikemukakan.

“Keutamaan diberikan kepada yang menduduki peperiksaan, tetapi peringkat pembelajaran lain juga sama penting. Mengapa tidak dibuka buat semua pelajar?” katanya.

Beliau berkata, ini juga bermaksud Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu diteruskan selama dua bulan lagi, walaupun ada segelintir murid masih tiada akses kepada kelas dalam talian.

Katanya,12,000 daripada 150,000 komputer riba telah diagihkan bulan lalu bawah inisiatif Cerdik, dengan bakinya akan diagihkan pada September.

“Mengapa perlu tunggu sampai September, jika sekolah akan dibuka berperingkat menjelang waktu itu? Pelajar perlu komputer riba untuk PdPR sekarang,” katanya.

Satu cara supaya semua pelajar dapat menyambung pembelajaran mereka di sekolah, kata Zaid, adalah dengan memberi vaksin kepada 500,000 guru di seluruh negara secepat mungkin demi menjamin pembelajaran di bilik darjah “kembali normal”.

Zaid mempersoalkan mengapa guru tidak diberi keutamaan dalam vaksinasi, terutamanya apabila Radzi seorang menteri kanan yang menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami sudah menunggu pengumuman mengenai dasar itu terlalu lama. Beliau (Radzi) sepatutnya tidak ‘teraba-raba’ dan maklumkan kepada kita semua apa pelannya,” kata Zaid.

Sabtu lalu, KPM menyatakan seramai 253,366 guru dan pentadbir (61.30%) dan 10,876 kakitangan sokongan (46.33%) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat 16 Julai.

Sumber – FMT