Panas!!! Anifah Aman tuduh Hishamuddin malukan Menteri Luar China
Hishammuddin Hussein melanggar adat diplomatik, kata bekas menteri luar, Anifah Aman merujuk gelaran “abang besar” yang diberikan menteri luar itu kepada rakan sejawatnya dari China, Wang Yi.
Beliau berkata, selaku menteri luar, ungkapan yang digunakan Hishammuddin bukan sahaja tidak sesuai, tetapi dengan jelas meletakkan menteri luar China itu dalam kedudukan sukar dan memalukan.
“Bahasa tubuh Wang menjelaskan segalanya, dan beliau dengan cepat berkata ‘kita bersaudara’.
“Sebagai diplomat tertinggi Malaysia, Hishammuddin harus lebih berhati-hati dan bijak memilih perkataan atau ungkapan. Seperti kata pepatah, diplomasi adalah barisan pertama pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan.
Dalam sidang media bersama sempena lawatan dua hari ke China baru-baru ini, Hishammuddin dilaporkan memberitahu Wang yang beliau akan sentiasa menjadi “abang besar” kepadanya, manakala Wang membalasnya dengan berkata: “Kita bersaudara”.
Hishammuddin kemudiannya menjelaskan ungkapan itu sebagai tanda hormat dan tidak merujuk hubungan dua hala Malaysia-China kerana hubungan yang terjalin sejak sekian lama itu berdasarkan kesaksamaan serta kepercayaan bersama.
Anifah berkata, Hishammuddin perlu menerima hakikat beliau melanggar adat diplomatik, bukannya terus berdebat dan cuba mewajarkan pilihan ungkapan yang salah itu.
“Ia cukup salah untuk melanggar adat diplomatik, namun untuk berdebat dan cuba mewajarkannya jelas menunjukkan keperibadian sebenar individu berkenaan.”
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, insiden itu secara tidak langsung memberi mesej jelas kepada dunia luar yang Malaysia bukan lagi negara berkecuali.
“Percubaan menteri luar menutup kekeliruan yang timbul menampakkan Kabinet Perikatan Nasional mempunyai pemahaman lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan China.” – FMT