Panas!!! Bekas ADUN Bersatu ikut jejak AP Segamat keluar parti

Panas!!! Bekas ADUN Bersatu ikut jejak AP Segamat keluar parti

Bekas ADUN Permas daripada Bersatu, Che Zakaria Mohd Salleh mengumumkan menyertai Amanah, sambil menyatakan dua lagi bekas ADUN parti itu akan mengikuti jejaknya.

Katanya, keputusan itu dibuat secara peribadi tanpa paksaan mana-mana pihak selepas membuat pertimbangan selama lima bulan.

“Saya sudah berfikir perkara ini lama, bukan baru ini saja. Saya pilih Amanah selepas membuat kajian selama lima bulan. Apakah parti politik yang sesuai untuk saya bagi meneruskan hasrat untuk membela dan membantu rakyat.

“Keputusan menyertai Amanah dibuat selepas melihat parti ini tidak mempunyai banyak birokrasi dan juga masalah kepimpinan, itu antara sebab utama,” katanya seperti dilaporkan portal FMT.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Amanah Johor.

Che Zakaria berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau berasakan tidak dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat jika terus kekal bersama Bersatu.

Katanya, terdapat dua lagi bekas ADUN daripada Bersatu dijangka mengikut jejak langkahnya dalam waktu terdekat ini.

“Selain saya, ada dua lagi ahli Bersatu dijangka melakukan perkara sama, seorang bekas Exco kerajaan negeri, manakala seorang lagi bekas wakil rakyat seperti saya juga,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Salahuddin Ayub menyifatkan tindakan Che Zakaria “melompat parti” itu dibuat secara ikhlas dan bukan kerana mengharap sesuatu kedudukan dalam parti.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada Februari lalu, waktu itu Che Zakaria dan rakannya boleh saja datang ke Amanah, tetapi mereka tidak berbuat demikian.

“Kini, selepas beberapa bulan baru dia datang, itu membuktikan dia masuk Amanah bukan untuk kerusi atau untuk menjadi calon, dia datang secara sukarela untuk sertai wadah perjuangan baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bersatu Johor, Sahruddin Jamal, berkata tindakan dibuat Che Zakaria menyebabkan keahliannya sebagai ahli Bersatu gugur serta-merta.