Panas!!! Berang kerap ditohmah netizen punca pertambahan kes positif Covid-19, Azmin tampil pertahankan tokeh kilang
Sektor pembuatan bukan punca utama berlakunya peningkatan kes positif Covid-19, lantaran itu adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak menyalahkan pembukaan operasi sektor tersebut.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berdasarkan statistik dan data daripada Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 75 peratus daripada kes positif yang direkodkan hari ini adalah bersifat sporadik kerana virus Covid-19 sudah berada dalam komuniti.
“Saya nak ambil kesempatan ini untuk menjelaskan (kepada umum) kerana daripada statistik dan data yang telah diumumkan oleh KKM, 75 peratus daripada kes-kes positif yang ada pada hari ini adalah bersifat sporadik.
“Maknanya, virus Covid-19 ini sudah berada dalam komuniti. Hanya 25 peratus sahaja yang datang daripada pelbagai bentuk kluster, termasuk kluster tempat kerja.
“Sekali lagi data yang dibekalkan oleh KKM membuktikan dari kluster-kluster yang wujud setiap hari itu sebahagiannya adalah kluster sektor pembuatan, tetapi jumlah yang dicatatkan bagi kes positif di sektor perkilangan dan pembuatan adalah antara lima hingga 10 peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Setia City khusus untuk pekerja kilang dekat sini, hari ini.
Menurut Mohamed Azmin, selepas mendapat data itu dan kes melibatkan kluster sektor ekonomi kecil dan virus Covid-19 sudah berada dalam komuniti, kementeriannya membuat keputusan untuk membenarkan beberapa sektor itu beroperasi.
Katanya, kebarangkalian kes itu berlaku dalam sektor ekonomi tidak wujud, tidak seperti sektor pendidikan dan sosial yang telah tutup sepenuhnya.
Bagaimanapun, ujar beliau, bagi sektor ekonomi khususnya untuk perkhidmatan perlu, kementerian membenarkan sedikit aktiviti itu beroperasi bagi melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.
“Tambahan pula Malaysia ini sebuah negara yang terlibat dengan pelbagai rantaian bekalan global dan kita tidak mahu ada gangguan terhadap bekalan makanan serta keperluan asas yang melibatkan barang keperluan untuk kesihatan awam seperti sanitizer atau barang keperluan farmasi
“Jadi, apabila ada aktiviti ini, kebarangkalian itu pastinya wujud, tetapi jumlahnya tidaklah besar seperti yang diumumkan kerana kes ini dan virus ini sudah sporadik, telah berada dalam masyarakat.
“Sebab itu kita mengajak untuk sama-sama menangani masalah pandemik ini dengan mematuhi SOP ketat seperti penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan tidak berada dalam kumpulan yang besar kerana ini akan mengundang kepada penularan virus Covid-19i, khususnya varian baru yang sekarang ada dalam masyarakat sekarang,” katanya.
Sumber – MalaysiaGazette