Panas!!! Bersatu wajar nasihat Wan Saiful jaga mulut – pemimpin UMNO

Gesaan daripada pemimpin Umno supaya Parlimen dibuka segera dan darurat tidak perlu disambung dalam perjumpaan Agong hari ini memerlukan pertimbangan berdasarkan data terkini yang tepat, kata Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, pertimbangan itu mestilah diambil bukan berdasarkan perkiraan politik.
“Bukan perkiraan politik, apatah lagi jika ada yang berkepentingan peribadi. Jadi eloklah kita biar pegawai profesional berikan taklimat yang betul mengikut proses untuk membuat keputusan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan agar tempoh darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini tidak disambung dan meminta supaya Parlimen dibuka segera bagi membolehkan sistem demokrasi negara dipertahankan.
Cadangan Zahid itu disuarakan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi.
Dalam pada itu Wan Saiful berkata, Agong sudah pasti akan mempertimbangkan semua cadangan yang diberi.
“Dengan kebijaksanaan Baginda sudah pasti akan membuat keputusan yang terbaik untuk negara berdasarkan nasihat daripada perdana menteri (Muhyiddin Yassin) seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan negara kita,” katanya.
Wan Saiful juga menjunjung kasih atas kesediaan Agong bertemu semua ketua parti yang didahului pertemuan berkenaan dengan Muhyiddin Rabu lalu.
Zahid merupakan pemimpin parti politik kesembilan mengadap Yang di-Pertuan Agong setakat ini selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, selain Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden MCA, Wee Ka Siong, pemimpin Pejuang, Dr Mahathir Mohamad serta Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal berbuat demikian.
Ia kemudian disusuli Presiden MIC SA Vigneswaran yang dilihat memasuki pekarangan Istana Negara pada jam 10.45 pagi tadi dan keluar kira-kira sejam kemudian.