Panas!!! Bila ‘bekas pembangkang’ terus berdolak dalih, peguam kacak ini tampil tangkis fitnah terbaru Tabung Haji

Panas!!! Bila ‘bekas pembangkang’ terus berdolak dalih, peguam kacak ini tampil tangkis fitnah terbaru Tabung Haji

PUTAR BELIT ISU TABUNG HAJI DAN LAPORAN AUDIT

Bergegar Malaysia bila Penyata Kewangan Tabung Haji 2019 dikeluarkan sampai ada yang pertikai Sijil Ketua Audit Negara. Tabung Haji ini adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Tabung Haji 1969 yang kemudiannya menjadi Akta Tabung Haji 1995. Sebagaimana badan berkanun lain, Tabung Haji perlu diaudit oleh Ketua Audit Negara.

Ketua Audit Negara pula dilantik oleh YDPA di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kuasa Ketua Audit Negara pula ada dalam Akta Audit 1957. Ringkas kata, Ketua Audit Negara ini perlu memberikan perakuan mengenai perjalanan audit sesebuah badan berkanun. Kita pun tak larat nak baca satu-satu rekod kewangan syarikat. Laporan Kewangan Tabung Haji sahaja berjumlah lebih 200 mukasurat. Apalagi kalau kita nak semak sendiri voucer dan invois syarikat. Jadi untuk mudah kata, Sijil Ketua Audit ini dikira sebagai ringkasan kepada perjalanan kewangan syarikat tanpa kita tengok kesemua penyata kewangan. Justeru, kalau hendak tohmah kata Ketua Audit manipulasi fakta-fakta itu agak keterlaluan.

Jadi, yang terbaik bagi kita orang biasa ini kalau nak semak laporan kewangan itu kita boleh tengok Sijil Ketua Audit ini. Berbalik kepada isu Tabung Haji sememangnya kita boleh akses kepada laporan kewangan Tabung Haji ini daripada portal Tabung Haji. Tinggal lagi kita ni rajin nak semak ke jenis pemalas dan ikut apa orang politik sembang.

Cuba tengok penyata kewangan Tabung Haji 2017, memang jelas Ketua Audit (masa itu Tan Sri Dr Madinah Mohamad) tulis ‘Emphasis of Matter’. Dia kata polisi rosot nilai Tabung Haji ini tak konsisten. Tabung Haji ubah polisi rosot nilai ini dua kali. Dua kali tuan puan, bukan sekali diubah?

Bermula 31.12.2018, Tabung Haji pula mesti guna Malaysian Financial Reporting Standard yang mana indikator penetapan rosot nilai tidak lagi berdasarkan kerugian signifikan atau berpanjangan. Para 8 MFRS pula menyatakan peruntukan rosot nilai perlu dibuat sekiranya nilai dibawa (carrying amount) pelaburan melebihi nilai yang diperoleh. Tahun kewangan berakhir 2017, Tabung Haji gagal merekodkan rosot nilai berjumlah lebih RM200 juta terhadap syarikat subsidiari dan sekutu. TH Heavy Engineering pula diberikan Penafian Pendapat oleh juruaudit luar melibatkan pelaburan lebih RM160 juta.

Kalau sebegini Ketua Audit tulis, takkan kita nak kata Tabung Haji ini tak ada masalah kan? Semestinya Tabung Haji ini bukan setakat bermasalah dengan aliran tunai tetapi juga mempunyai masalah dengan lembaga pengarahnya sendiri yang mengubah polisi rosot nilai.

Tahun 2018, sekali lagi Ketua Audit Negara (Dato’ Nik Azman Nik Abdul Majid) meletakkan ‘Emphasis of Matter’ dalam Sijil Ketua Audit. Malah, ‘Emphasis of Matter’ ini lebih panjang daripada tahun 2017. Dia menyebutkan mengenai pelan penstrukturan yang bertujuan untuk memperbetulkan perbezaan antara aset dan liabiliti Tabung Haji bagi bertujuan untuk pemberian hibah tahun 2018. Akhir tahun 2018, aset Tabung Haji bernilai RM76.794 bilion dan liabiliti RM76.437 bilion dengan nilai bersih aset RM357.34 juta selepas ambil kira pemberian hibah.

Ada juga catatan bahawa Ketua Audit Negara tidak dapat menentukan sama ada Tabung Haji akan menerima bayaran tebusan sukuk daripada UJSB dan sama ada Tabung Haji mampu untuk membeli semula aset yang dipindahkan kepada UJSB.

Tahun 2019, Ketua Audit Negara (Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid) langsung tidak menyebutkan ‘Empasis of Matter’ dalam Sijil Ketua Audit. Ini jelas menunjukkan bahawa kekhuatiran yang ada dalam 2017 dan 2018 itu telah ditangani oleh Lembaga Pengarah Tabung Haji [Tahniah kepada semua anggota Lembaga Pengarah ini]. Malah, Ketua Audit juga memperakukan bahawa kedudukan kewangan Tabung Haji dan Kumpulan pada 2019, prestasi dan aliran tunai adalah selaras dengan MFRS (Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia) dan IFRS (Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa).

Siapakah Pengerusi Tabung Haji sebelum 2018 tak perlu diperkenalkan lagi. Boleh lihat sendiri siapakah orang itu dalam laporan tahunan Tabung Haji. Cuma dalam portal Tabung Haji, tiada dilampirkan Laporan Tahunan 2017. Kenapa tiada? Entahlah! Kita pun tak tau jawapannya.

Mengikut S. 22 Akta Tabung Haji, sebelum hibah dapat diberikan akaun kewangan Tabung Haji mesti menunjukkan aset melebihi liabiliti. Ini bagi menjamin kelestarian Tabung Haji untuk jangka masa panjang. Mungkin inilah punca polisi rosot nilai Tabung Haji diubah sebanyak dua kali oleh Lembaga Pengarah sebelum 2018 sebagaimana teguran Ketua Audit. Tujuannya untuk memberikan hibah dengan memberikan gambaran aset Tabung Haji lebih tinggi daripada liabiliti ibarat buah yang sudah hampir busuk ditutup dengan kain satin.

Jadi, apa yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa semasa dia menjadi Menteri Agama itu adalah langkah terpuji kerana mengembalikan Tabung Haji kembali mengikut Akta Tabung Haji. Kalau tidak dibuat penstrukturan pada masa itu nescaya keadaan kewangan Tabung Haji akan lebih parah lagi.

Oleh itu, hentikanlah fitnah dan putar belit kepada Datuk Seri Dr Mujahid nak jual aset orang Islam, jual aset kepada cina, tukar nama hotel dan lain-lain. Bercakap dan menulis secara rambang memang sedap tapi biarlah berlandaskan fakta. Tunjukkan dalil dan bukan bual kosong sahaja.

Dr Zulqarnain Lukman
26/9/2021

Sumber – FB