Panas!!! Boleh soal dan mencadang, Rashid anggap tiada keperluan adakan perbahasan

Panas!!! Boleh soal dan mencadang, Rashid anggap tiada keperluan adakan perbahasan

Ahli Parlimen akan dibenarkan bertanya soalan dan membuat cadangan pada persidangan khas Dewan Rakyat mulai 26 Julai, sesuatu yang boleh “dikira (sebagai) perbahasan,” kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon.

“Pada persidangan ini, tiada sebarang usul, jadi tiada sebarang perbahasan, namun saya kira, jika ada cadangan atau pertanyaan, (Ahli Parlimen) boleh kemuka pada sesi soal jawab, itu juga dikira perbahasan,” portal PNBBC memetik beliau sebagai berkata.

Beliau berkata, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang tidak akan dihalang daripada mengemukakan sebarang pertanyaan yang berbangkit dan “semua akan diberikan laluan jika mereka menekan butang pada pembesar suara di meja masing-masing,” tambah beliau.

Sebelum ini, kalangan Ahli Parlimen mengkritik sidang Dewan Rakyat lima hari mulai 26 Julai itu dengan menyifatkanya sebagai hanya sesi penerangan daripada menteri-menteri kerajaan pimpinan Perikatan Nasional.

Hari ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata menyifatkan Sidang Khas Parlimen itu sebagai “ceramah” dan menyimpang daripada titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang secepat mungkin.

“Sepanjang 21 tahun menjadi Ahli Parlimen, saya tidak pernah hadir sidang Parlimen yang tidak memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk menyertai perbahasan ataupun membentangkan usul,” kata beliau.

Terdahulu, Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad berkata, Ahli Parlimen daripada parti itu mungkin memulau sesi Parlimen berkenaan jika tidak ada perbahasan dan dua usul yang dikemukakan Pejuang tidak dibenarkan.

Bekas perdana menteri itu mempersoalkan keperluan Ahli Parlimen perlu menghadiri Sidang Khas Parlimen itu, jika ia hanya untuk mendengar penjelasan kerajaan.

Katanya, ia sekadar helah untuk menunjukkan sidang Parlimen diadakan sedangkan ia bukan seperti yang difikirkan semua orang.

Aturcara Sidang Khas Parlimen itu turut dikritik Najib Razak yang berkata ia sepatutnya untuk membahaskan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat.

“Titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja pemerintah jelas ialah untuk bertitah sidang Parlimen diadakan secepat mungkin, bukan untuk kita pergi ke Parlimen untuk mendengar penerangan atau taklimat dari menteri-menteri,” kata beliau.

Abdul Rashid menjelaskan Ahli Parlimen diberikan aturan mesyuarat dan mereka boleh merujuk perkara itu daripada jadual disertakan.

“Semua Ahli Parlimen boleh kemukakan usul dan ia terpulang kepada Speaker (Azhar Azizan Harun) menerima atau tidak,” katanya.

Sumber – FMT