Panas!!! Caprice artis terbaharu hentam kerajaan
Penyanyi rap Caprice menyifatkan sistem pendidikan di Malaysia masih di takuk lama sedangkan pendidikan adalah tonggak kepada sesebuah negara.
Beliau berkata, sistem pendidikan sekarang dan dahulu sama sahaja, justeru bagaimana mahu mengubah minda anak muda sedangkan sistem yang ada masih tradisional.
“Saya membesar di beberapa negara kerana ayah adalah Duta Malaysia. Saya lihat sistem pendidikan sekarang sama sahaja macam zaman ibu bapa saya dulu.
“Nak ubah minda anak muda, tapi sistem pendidikan kita masih tradisional. Saya sudah bersembang dengan macam-macam orang, sudah tengok cara pendidikan di tempat lain,” katanya yang pernah menetap di di Paris, Algeria, Venezuela dan Jordan.
Katanya, Malaysia sepatutnya mengubah cara belajar, selain memberi pendedahan kepada anak muda berinteraksi dengan ramai orang.
Dalam satu temu bual eksklusif OWH! MG baru-baru ini, Caprice yang popular dengan lagu Koyak ini turut berkata, anak muda perlu berani dan diberi hak bersuara dan melontarkan idea.
Beliau berpandangan, anak-anal muda negara ini perlu diberi pendedahan itu demi masa depan Malaysia.
“Selamatkan anak muda, maksudnya selamatlah masa depan Malaysia.
“Orang lama (pemimpin) ni nak selamatkan diri, nak kuasa dan diri sendiri saja,” dakwa beliau.
Tambah Caprice, secara logik demi ummah dan rakyat, apabila bercerita pasal masa depan sebenarnya anak muda adalah masa depan.
“Kita nanti dah sembah ke bumi, anak mudalah masa depan kita.
“Saya rasa wakil rakyat sekarang tak dengar masalah rakyat. Mereka duduk dalam Parlimen pakai ‘headphone’,” ujarnua.
Caprice turut berpandangan kebanyakan wakil rakyat ini hanya muncul dan bersikap baik ketika memancing undi untuk pilihan raya.
“Apabila mereka dapat kuasa, duduk dalam Parlimen, mereka tak nak dengar atau tak mahu dengar suara rakyat?
“Saya rasa…. bukan saya saja, ada ramai anak muda di luar sana perlu bangkit dan jadi pemimpin baharu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pandangannya itu bukan bermaksud orang lama ni tak bagus.
Sebaliknya, menurut beliau, orang lama banyak ilmu dan orang muda perlu belajar.
Tapi pada masa sama, orang muda perlu ada idea baharu, hala tuju dan visi baharu untuk bersama-sama dengan orang lama.
“Cuma kebanyakan mereka ini, apabila orang seperti saya ‘ketuk pintu’, kita dikatakan nak tunjuk pandai pula. Sebenarnya kita nak bekerjasama. Idea orang muda,” katanya lagi.
Ditanya parti manakah yang menjadi pilihan untuk sama-sama menggerakkan misi pendidikan ini, Caprice menjelaskan lebih selesa bergerak sebagai parti bebas.
“Saya nak bersama-sama orang di luar sana, yang ada idea dan boleh jadi pemimpin dengan saya.
“Orang di luar sana dah muak dengan politik ni. Politik di sini selalu kena hentam atau malas nak layan.
“Ini bukan salah rakyat tetapi ia adalah kerana wakil rakyat tak buat kerja, tak turun padang dan tak dengar suara rakyat.
“Orang tak akan cari saya, kalau mereka boleh cari terus wakil rakyat yang mereka undi. Jadi yang bermasalah itu adalah wakil rakyat,” tambahnya lagi.
Ditanya mengenai kepercayaannya terhadap parti politik sedia ada, Caprice berkata, adalah lebih baik dia bergerak sebagai bebas sahaja terlebih dahulu.
“Apabila kita pilih Chelsea atau Manchester, kita akan ada sekutu-sekutu pula. Akhirnya dikatakan saya setuju dengan cara orang lama dalam pasukan itu.
“Saya tak mahu begitu. Saya suka parti-parti sedia ada buat pembaharuan, susun askar baharu, baru saya masuk dan bergerak sebagai satu pasukan.
“Telefon pun upgrade setiap tahun, takkan kita tak boleh upgrade minda orang kita.
“Saya hormat ramai pemimpin, saya rajin kacau pemimpin Malaysia. Apa yang saya keliru. Cuma kebanyakan pemimpin kita ada masalah untuk kerjasama. Mereka buat kepala sendiri.
“Macam perang, kalau tak bersatu, susah nak menang, susah nak buat kerja. Kalau ada kesatuan itu, impaknya akan jadi lebih kuat.
“Malangnya, pemimpin yang ada tidak bersatu,” katanya.