Panas!!! Cubaan memalukan Agong, Azalina dedah ‘senjata akhir’ Muhyiddin
Atas permintaan ramai artikel “MP Held Hostage” (6 Ogos 2021) diterjemahkan dalam Bahasa Kebangsaan.
Ahli Parlimen Jadi Tebusan
Jika anda tidak biasa dengan pernak-pernik ritual di Parlimen United Kingdom, apa yang akan saya perkatakan ini mungkin tidak pernah anda ketahui. Tahukah anda, semasa istiadat pembukaan rasmi bagi sesi Parlimen UK, seorang Ahli Parlimen akan dijadikan “tebusan” di Istana Buckingham sepanjang Titah Diraja oleh Baginda Ratu? Tebusan ini akan hanya dibebaskan setelah Baginda Ratu selamat berangkat pulang ke Istana Buckingham. Tradisi ini telah lama wujud sejak dahulu lagi, semasa hubungan antara pihak istana dengan Parlimen British kurang mesra. Namun kini, amalan ini hanyalah sebahagian daripada kebiasaan istiadat Parlimen United Kingdom semata-mata.
Mari kita imbas kembali peristiwa hari Isnin, 2 Ogos 2021. Bukan di London, tetapi di Kuala Lumpur. Ahli-ahli Parlimen Pembangkang telah dihalang daripada memasuki kawasan Parlimen. Jalan utama ke Parlimen (simbol demokrasi negara kita) telah disekat. Saya berani katakan bahawa pada hari (Black Monday) itu, demokrasi dipasung jadi tebusan begitu sahaja. Tampaknya, hak Ahli-ahli Parlimen untuk mengamalkan demokrasi berparlimen itu sendiri telah dilumpuhkan sehinggalah 6 September 2021.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengesahkan bahawa persidangan pertama bagi mesyuarat keempat, Parlimen ke-14 akan dibuka oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 6 September. Seperti amalan lazim dalam Sistem Westminster, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan membaca Titah Diraja. Teks Titah Diraja tersebut akan disediakan oleh pihak Kerajaan, yang menggariskan agenda Kerajaan untuk setahun akan datang. Bahkan, teks itu akan menzahirkan agenda-agenda legislatif yang akan dikemukakan oleh pihak Kerajaan untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua Majlis Parlimen.
Cuba kalian berhenti dan fikir sejenak tentang situasi yang pelik ini. Dengan keabsahan Kerajaan yang sedang diragui, bukankah kita semakin tertanya-tanya dengan pilihan waktu YAB Perdana Menteri mahu mengemukakan Usul Undi Kepercayaan yang meragukan ini? Simpang-siur teknikal dalam hal ini adalah sedikit rumit untuk dihuraikan, tetapi saya cuba cerakinkannya dalam satu senario ringkas.
Apabila tarikh 6 September tiba kelak, ini adalah kemungkinan yang akan berlaku:
10.00 pagi: Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Parlimen dan Istiadat Pembukaan dimulakan.
10.30 pagi: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyampaikan Titah Diraja. Titah tersebut mengandungi agenda kerajaan sepanjang Dewan Rakyat bersidang pada penggal tersebut. Titah akan disampaikan di hadapan 220 orang Ahli Parlimen dengan kehadiran dif- dif kehormat.
11.30 pagi: Bentangkan Usul Undi Kepercayaan?
Adakah saya terlepas sesuatu di sini? Bukankah sepatutnya, kita selesaikan dahulu Usul Undi Kepercayaan dan kita uji keabsahan Kerajaan sebelum Titah Diraja? ANDAIKATA pihak Kerajaan gagal mendapat majorit semasa Undi Kepercayaan tersebut, adakah ini bermaksud Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong perlu membaca pula Titah Diraja yang BARU, yang disediakan oleh sebuah Kerajaan BARU? Ini tidak masuk akal, bahkan sesuatu yang merupakan pembaziran masa dan sumber.
Tambahan pula, Ahli-ahli Parlimen perlu berbahas dan mengundi kandungan Titah Diraja dalam sesi yang akan datang. Undian MENYOKONG Titah Diraja bermaksud mereka mengiktiraf keabsahan Kerajaan. Sebaliknya, undian MENOLAK Titah Diraja adalah bersamaan dengan menolak Kerajaan Baginda. Mungkinkah pihak Kerajaan berhasrat untuk menggunakan Titah Diraja sebagai satu ujian keabsahan yang akan menggantikan Usul Undi Kepercayaan secara formal? Jika ya, tidak syak lagi bahawa ini satu strategi yang sungguh BIJAKSANA (iya, ini satu sindiran!).
Persoalannya, jika YAB Perdana Menteri bersedia untuk berdepan sebuah Usul Undi Kepercayaan di Parlimen, mengapa September dan bukan lebih awal? Untuk ini, kita boleh pertimbangkan dua pilihan yang dapat mempercepatkan proses Undi Kepercayaan dari September untuk dijalankan dalam bulan Ogos.
Pilihan 1: Ubah tarikh Usul Undi Kepercayaan ke suatu tarikh sebelum 6 September.
Pada 4 Ogos 2021, YAB Perdana Menteri telah berjanji untuk membawa Usul Undi Kepercayaan sebagai agenda Kerajaan pada masa yang tidak ditentukan ketika sidang Parlimen pada bulan September nanti. Secara teknikalnya, YAB Perdana Menteri boleh memanggil Mesyuarat Khas di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) 11(3). Satu-satunya syarat untuk agenda pihak Kerajaan dibentangkan di Parlimen dengan serta-merta adalah atas dasar demi kepentingan awam (PMDR 11(3)). Jelas, persoalan keabsahan Kerajaan merupakan persoalan kepentingan awam yang sepatutnya mendesak YAB Perdana Menteri untuk memanggil sebuah Mesyuarat Khas secepat mungkin.
Pilihan 2: Wujudkan Proses Pengundian Alternatif
Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak memperuntukkan proses bagi pengundian Usul Undi Kepercayaan, yakni tiada peraturan bertulis tentangnya. Justeru, saya ingin timbulkan persoalan-persoalan berikut:
a) Adakah Usul Undi Kepercayaan perlu diadakan dalam kompleks Parlimen juga supaya prosesnya sah di sisi undang-undang?
b) Jika suatu proses undian terbuka atau rahsia diperlukan, maka ia boleh dijalankan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (sebagai pengadil), dan undi pula akan dikira oleh Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR). Jadi, mengapa prosedur ini tidak boleh dijalankan secepat mungkin di Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, dan dihadiri juga oleh Ketua Whip parti masing- masing?
Maju ke Hadapan
Kita tiada Undang-undang Anti-Lompat Parti. Bahkan, jika kita melarang Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong atau tidak menyokong pihak Kerajaan semasa, ia akan bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Barangkali telah tiba masanya untuk Malaysia mempertimbangkan Akta Penggal Tetap Parlimen seperti Fixed Term Parliament Act 2011 di United Kingdom. Perkara ini wajar menjadi agenda penting dalam Dewan Rakyat semasa sesi persidangan akan datang. Demi kestabilan politik dan tatakelola yang baik, kita mesti mencari jalan penyelesaian yang lestari demi memelihara maruah Parlimen dan mengelakkan kejadian lompat-melompat oleh katak-katak politikal.
Pilihan terakhir adalah dengan menerima sebuah Kerajaan Minoriti, apabila sokongan formal diperoleh daripada semua parti politik, dengan timbal balik tolak ansur dan rundingan dasar- dasar. Kemudian, undi kepercayaan kepada pihak Kerajaan diperoleh dengan kelulusan bajet yang saksama dan sama rata untuk semua Ahli Parlimen melalui Confidence and Supply Agreement, tanpa perlu adanya Kerajaan berasaskan kerjasama parti-parti secara sepenuhnya.
Mungkin, prinsip “ALL HANDS ON DECK” merupakan jalan terbaik yang dapat kita ambil bagi memastikan segala usaha yang telah berjalan untuk memerangi COVID-19 tidak lagi diganggu-gugat oleh ketidakstabilan politik, dan pada masa yang sama, dapat memuaskan hati Ahli-ahli Parlimen.
AZALINA OTHMAN SAID
AHLI PARLIMEN PENGERANG