Panas!!! Dakwa sekadar lelucon, bekas Timbalan Pengarah KKM bidas sikap biadap Sanusi
Bekas timbalan pengarah Kementerian Kesihatan Dr Christopher Lee terkejut dengan jenaka Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor ketika jumlah korban Covid-19 terus meningkat di seluruh negara.
“Terkejut apabila seorang menteri besar tergamak mengatakan ini ketika ratusan meninggal dunia setiap hari.
“Saya telah melakukan kerja klinikal selama lebih dari 35 tahun tetapi tiga hari yang lalu, saya masih sukar memberitahu seorang suami bahawa isterinya berusia 31 tahun telah meninggal dunia kerana Covid-19.
“Untuk menenangkan hati dan menunjukkan empati adalah ciri-ciri pemimpin, betul tak,” kata pakar penyakit berjangkit itu pada catatan di Twitter.
Lee mengulas sidang media Sanusi yang mengingatkan penduduk di Sungai Petani untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kerana hospital di sana sudah penuh.
Gambar fail, bekas timbalan pengarah Kementerian Kesihatan Christopher Lee.
Ditanya sekiranya tempat menyimpan mayat pesakit Covid-19 mencukupi, Sanusi melawak:
“Kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk bagi nama.”
Shocked that an MB could say this when hundreds are dying/day. I've been doing clinical work > 35yrs, but 3 days ago, I still had difficulty telling a husband that his 31yr old wife had died of COVID. To comfort & to provide empathy are traits of a leader, yes? https://t.co/8ThgkxdtYH
— Christopher Lee (@chriskc_Lee) August 6, 2021
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Umno Sungai Petani Shahanim Mohamad Yusoff mengkritik Sanusi, berkata komen menteri besar itu tidak sensitif terhadap keluarga yang kehilangan orang tersayang.
“Kalau boleh isu yang melibatkan kematian ni janganlah di buat lawak jenaka. Mohon jaga hati rakyat yang terkesan dengan Covid-19 ini.
“Saya menyeru semua pihak, tak kira siapa atau jawatan jagalah hati mereka yang kehilangan keluarga akibat Covid-19,” katanya pada hantaran di Facebook.
Shahanim berkata hatinya hiba mendengar ayat seorang menteri besar yang seakan tidak menunjukkan rasa simpati terhadap keluarga korban Covid-19.
“Di Sungai Lalang lapan orang anak kehilangan ibu bapa. Di Tikam Batu lapan orang anak kehilangan ibu bapa. Di Teluk Nipah enam lapan orang anak kehilangan ibu. Di Aman Jaya tiga lapan orang anak kehilangan ayah.
“Banyak lagi kes untuk makluman YAB (menteri besar). Kalau tak bantu tolonglah jaga hati mereka,” katanya lagi.
Lebih 10,000 orang di Malaysia telah maut akibat Covid-19 sejak bermulanya wabak ini.
Oleh kerana bilik mayat semakin penuh, hospital terpaksa menyimpan orang mati di dalam kontena.
Seramai 1,153 orang meninggal dunia akibat Covid-19 dalam masa enam hari pertama bulan ini sahaja.
Sumber – Malaysiakini