Panas!! Dewan Rakyat kecoh ahli parlimen Keningau tak jalani kuarantin wajib

Panas!! Dewan Rakyat kecoh ahli parlimen Keningau tak jalani kuarantin wajib

Sidang Parlimen kecoh seketika tengah hari ini, apabila Fahmi Fadzil (Lembah Pantai-PKR) mempersoalkan kehadiran Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (Keningau-STAR) di Dewan Rakyat.

Fahmi meminta Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said membuat peraturan mesyuarat terhadap Dr. Jeffrey yang dikatakan pulang ke Sabah minggu lepas dan kembali ke Semenanjung semalam tanpa menjalani proses kuarantin wajib 14 hari.

Azalina bagaimanapun, meminta semua ahli Parlimen terutama blok pembangkang yang mula bising supaya bertenang kerana beliau perlu mendapatkan penjelasan dari Urusetia Parlimen mengenai kedudukan Ahli Parlimen Keningau itu.

Kira-kira 10 minit kemudian, Urusetia Parlimen memberi jawapan kepada Azalina bahawa Dr. Jeffrey dibenarkan berada di Dewan Rakyat oleh doktor dari Klinik Parlimen yang telah melakukan pemeriksaan ke atasnya.

Jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar-Warisan) yang memaklumkan kepada Parlimen, beliau tidak balik ke Sabah minggu lalu walaupun ibu saudaranya meninggal dunia.

“Saya cuba dapatkan kebenaran untuk pulang menziarah kematian makcik saya tetapi tidak lulus, atas alasan risiko wabak Covid-19.

“Saya akur dan tidak balik ke Sabah tetapi Keningau (Dr. Jeffrey) dengan mudah ulang alik ke Sabah untuk mengikuti sidang DUN negeri itu minggu lepas dan balik ke sini, semalam.

“Hari ini, Keningau berada dalam Dewan tanpa menjalani kuarantin 14 hari yang diwajibkan Parlimen kepada semua ahli Parlimen yang datang dari Sabah atau kawasan berisiko wabak Covid-19,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini.

Sidang tertangguh kira-kira 15 minit, selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan Azalina untuk menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat memberi jawapan mengenai kes itu.

Sesi perbahasan diteruskan dengan Dr. Jeffrey kekal berada di tempat duduknya di Dewan Rakyat.

Mengikut peraturan Parlimen, mana-mana ahli Parlimen dari Sabah yang hendak mengikuti sedang Dewan Rakyat perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari dan perkara ini diamalkan kira-kira dua minggu sebelum Parlimen bersidang pada 6 November lalu.

Sumber: MalaysiaGazette