Panas!! Hadi belum dapat kebenaran menghadap Sultan Nazrin

Panas!! Hadi belum dapat kebenaran menghadap Sultan Nazrin

Istana Perak mengesahkan sudah menerima surat permohonan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini memaklumkan perkara berkenaan ketika dihubungi di sini hari ini.

Annuar Zaini turut ditanya sama ada Istana sudah menetapkan tarikh dan waktu untuk Abdul Hadi menghadap Sultan Perak.

“Untuk makluman, setakat ini Abdul Hadi belum mendapat kebenaran untuk menghadap Tuanku,” katanya.

Terdahulu, PAS Perak menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Perak atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu tidak menghadap sebagaimana dititahkan baginda Selasa lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dilaporkan berkata, Abdul Hadi sendiri dijadual akan menghadap baginda, namun tarikh dan waktunya masih belum diketahui.

Beliau juga mengesahkan surat yang tersebar di media sosial berkenaan permohonan Abdul Hadi untuk menghadap Sultan Nazrin adalah benar.

Sebelum ini media tempatan turut melaporkan Abdul Hadi mengirim sepucuk surat ke istana untuk memohon menghadap baginda.

Memetik laporan itu, surat menyatakan niat Abdul Hadi untuk memberitahu Sultan Perak mengenai situasi politik yang membabitkan PAS.

Sebelum ini, media melaporkan tiga Adun Pas Perak tidak jadi menghadap Sultan Nazrin pada 3 petang Selasa lalu.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/652158/abdul-hadi-belum-dapat-kebenaran-menghadap-sultan-perak