Panas!!! Hasrat Tok Mat bertanding di Rembau berdepan bantahan pengundi

Panas!!! Hasrat Tok Mat bertanding di Rembau berdepan bantahan pengundi

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memaklumkan beliau belum membuat keputusan berhubung kerusi Parlimen mana yang mahu ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), lapor Bernama.

Menurutnya, keutamaan parti ketika ini adalah memperkukuh dan mempersiapkan jentera di seluruh bahagian terlebih dahulu sebelum memutuskan soal pembahagian kerusi dan calon.

Malah, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama parti komponen BN dalam masa terdekat iaitu selepas selesai sesi libat urus dan perjumpaan dengan Jentera BN Sabah.

“Saya belum bercakap pasal kerusi lagi, baru cakap pasal kesiapsiagaan jentera, tak pernah cakap nak tanding mana-mana, saya cuma cakap sudah tiba masanya untuk saya bertanding di Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Mini Keselamatan dan Kesihatan sempena Sambutan Hari Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohamad berkata sebagai timbalan presiden Umno, beliau berhak memilih bertanding di mana-mana kawasan Parlimen dan tidak semestinya di Parlimen Rembau sebagaimana diuar-uarkan.

Pada 4 September lepas, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dilapor tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU15 bagi memberikan laluan kepada Mohamad yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu berkata pihaknya sudah meminta rakan-rakan komponen BN menyatakan kawasan yang ingin diletakkan calon masing-masing.

“Ada beberapa kerusi yang perlu dilakukan perubahan, itu biasa, kita buat penukaran kerana ada beberapa tempat kita tak menang tiga, empat kali PRU, jadi kita perlu melihat strategi pula, dalam ‘perang’, strategi penting untuk pastikan kita menang,” katanya menambah pemilihan calon akan mengambil kira muka lama dan muda ke arah usaha meremajakan parti.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno berkata tahap kesiapsiagaan jentera di seluruh negeri ketika ini berada dalam keadaan baik dan terdapat beberapa perkara yang perlu diperkasakan sebelum berdepan PRU15.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata beliau tidak mengetahui cadangan untuk mengadakan perbincangan bersama PAS berhubung 27 kerusi kritikal menjelang PRU15 akan datang.

“Saya tak tahu ada 27 kerusi yang perlukan bimbingan tapi yang saya lakukan sekarang ini adalah saya pergi ke setiap negeri untuk mengenal pasti dan melihat kesiapsiagaan jentera menghadapi PRU15 yang boleh diadakan bila-bila masa.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan memaklumkan parti itu terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Umno berhubung 27 kerusi kritikal yang mana kerusi terbabit dimenangi Pakatan Harapan dalam PRU14 lepas.