Panas!!! Ibu bapa, pengendali tadika bingung arahan MKN seperti ‘orang mabuk’

Panas!!! Ibu bapa, pengendali tadika bingung arahan MKN seperti ‘orang mabuk’

Bingung dengan arahan ‘tutup dan buka’ operasi tadika serta pusat jagaan kanak-kanak di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), ibu bapa dan pengendali mendesak penjelasan daripada pihak berkuasa.

Pada awalnya, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan tiada pusat jagaan swasta, termasuk tadika dan sekolah antarabangsa yang akan dibenarkan beroperasi dari pagi semalam hingga 6 Jun, meskipun SOP PKP sebelum ini membenarkan premis terbabit dibuka.

Susulan itu petang semalam, ibu bapa dan pengendali kembali ‘garu kepala’ selepas perdana menteri memaklumkan pusat jagaan kanak-kanak akan dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan PKP seluruh negara.

Beberapa kumpulan penyedia perkhidmatan pendidikan swasta yang terbabit dengan pusat jagaan dan tadika memohon agar kerajaan menjelaskan perancangan dan SOP ditetapkan, sementara ibu bapa yang bercakap kepada FMT marah dan panik dengan dua arahan berbeza itu.

Kwan, seorang ibu kepada anak autisme berusia enam tahun berkata, arahan tutup dan buka meletakkannya dalam situasi tidak menentu, kerana beliau tidak mempunyai pilihan selain menghantar anaknya ke sekolah berikutan perlu memberikan perhatian penuh pada kerja.

Ibu kepada dua anak berusia 40 tahun dari Sungai Ara itu berkata, ketika pelaksanaan PKP pertama tahun lalu, keadaan anaknya menjadi teruk apabila tidak bersekolah dan memerlukan seorang psikologi klinikal untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Bayangkan jika tiada penjagaan dalam tempoh tiga minggu, anak saya mungkin akan berdepan situasi sama lagi dan keadaan bertambah buruk apabila kami tiada sistem sokongan di sini kerana bukan berasal dari sini, tiada ahli keluarga,” kata jurutera itu.

Bagi SG Tan, 36, beliau terpaksa kembali ke pusat jagaan untuk menjemput anaknya yang berusia lima tahun hanya selepas sejam menghantarnya.

“Ini agak mengganggu kerana saya perlu menghadiri beberapa mesyuarat yang dijalankan menerusi Zoom, di mana saya terpaksa batalkan disebabkan perkara ini,” katanya.

Eksekutif pengeluaran Christine, 40, berkata beliau tidak bekerja dari rumah kerana memantau kerja pemasangan di sebuah kilang di Bayan Lepas dan perubahan arahan itu menyukarkannya.

“Sekiranya anak-anak tidak dapat bersekolah, saya perlu cuti tanpa gaji. Saya tertanya-tanya mengapa kerajaan menukar keputusan seperti ‘roti canai’,” kata wanita yang menetap di Relau itu.

Bagi eksekutif pemasaran, Fenny Choo, 31, pusat jagaan amat penting baginya yang tinggal di sini dan bekerja di Bukit Mertajam.

Katanya, arahan PKP yang tidak menentu menyebabkannya terpaksa menggunakan semua 20 hari cuti berbayar hanya untuk menjaga anak perempuannya yang berusia empat tahun ketika pusat jagaan kanak-kanak ditutup.

“Sekarang saya hanya mempunyai cuti tanpa gaji yang tidak dapat saya ambil,” katanya.

Sebanyak empat kumpulan berkepentingan yang diketuai oleh Persatuan Majikan Pusat Pendidikan Malaysia meminta SOP yang lebih jelas daripada kerajaan untuk menyelesaikan perkara itu.

Kumpulan itu berkata, birokrasi dalam bidang kuasa dua kementerian iaitu KPM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, membuatkan perkara itu menjadi semakin sukar.

Mereka berkata, hanya satu kementerian seharusnya mengawal semua taska (pra-sekolah), tadika, pusat jagaan kanak-kanak dan pusat tuisyen supaya semua prosedur dapat diseragamkan. – FMT