Panas!!! Isu anak saudara menteri nikah di Gurdwara bukan isu besar kata Timbalan Menteri Agama

Panas!!! Isu anak saudara menteri nikah di Gurdwara bukan isu besar kata Timbalan Menteri Agama

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary menyifatkan isu perkahwinan Illi Najwa Anuar Hussein Saddique dengan kapten hoki pasukan India, Manpreet Singh Pawar yang menimbulkan kontroversi tahun lalu sudah selesai.

Katanya, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyelesaikan kes itu dan suami Illi Najwa sudah memeluk Islam sebelum berkahwin.

“Satu bonus pada kita kerana suami (Illi Najwa) memeluk Islam, tetapi isu memeluk Islam ini bagi warganegara India mungkin sangat sensitif.

“Jadi kita tidak mahu isu ini ditonjolkan sangat,” katanya ketika ditanya pada sidang media ketika menghadiri Program Malaysia Prihatin peringkat negeri Kelantan di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bharu, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan terkini kes Illi Najwa, yang menimbulkan kontroversi mengenai status agamanya bersama pasangannya.

Terdahulu, pada 18 Mac lalu Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan berkenan menerima menghadap Illi Najwa Anuar Hussein Saddique dan mengadakan pertemuan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

Baginda turut berkenan menerima mengadap Mufti Johor Yahya Ahmad bagi mempersembahkan hasil siasatan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berhubung status perkahwinan dan agama Illi Najwa bersama pasangannya.

Sementara itu, Ahmad Marzuk menegaskan, apa yang paling penting matlamat sebenar untuk menyelamatkan akidah Illi Najwa sudah dapat dicapai.

“Apa yang paling penting, matlamat sebenar kita dah dapat untuk menyelamatkan akidah dia.

“Itu maklumat daripada pihak berkuasa Johor, Alhamdulillah” katanya. – MK