Panas!!! Jangan biarkan Adham urus vaksin, nasihat pakar kesihatan kepada KJ
Khairy Jamaluddin adalah orang yang tepat untuk dilantik sebagai menteri kesihatan dan membawa nafas baharu kepada kementerian itu kerana beliau telah membuktikan prestasinya sebagai menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini, kata pakar kesihatan.
Bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Ismail Merican berkata, Khairy kini perlu memastikan supaya program vaksinasi itu berada di bawah kementeriannya.
“Ia harus berada di bawah Kementerian Kesihatan dan kementerian lain perlu mendengar nasihatnya dalam usaha memerangi pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT.
Ismail berkata, Khairy memerlukan semua bantuan pihak berkepentingan dalam kalangan orang ramai dan sektor swasta bagi menangani pandemik Covid-19.
Katanya, tugas pertama yang perlu dilakukannya ialah mengadakan “perbincangan secara berterus terang” dan membuat keputusan berdasarkan idea terbaik daripada pihak berkepentingan.
“Kita semakin kalah dengan pandemik dan Khairy perlu bertindak segera,” katanya.
Sebaik keputusan dicapai katanya, beberapa pihak lain harus mendengar nasihatnya supaya negara dan aktiviti ekonominya kembali pulih.
Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye, turut menyambut baik pelantikan itu dan menyifatkannya sebagai “langkah yang baik”.
Lee berkata, Khairy sedar dengan masalah yang timbul akibat wabak itu dan mempunyai pengalaman dalam menguruskannya.
Beliau berkata, Khairy perlu memberi keutamaan segera dalam memastikan PICK diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan, bukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
MOSTI kini diterajui bekas menteri kesihatan, Dr Adham Baba.
Lee berharap Khairy juga akan meneliti permintaan untuk menambah bilangan kakitangan di kementerian itu.
“Kita berdepan dengan Covid-19 dalam tempoh yang lama dan tambahan tenaga kerja diperlukan untuk melakukan pengesanan kontak, memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan memberi rawatan,” katanya kepada FMT.
Beliau juga berharap Khairy akan menyelesaikan isu doktor kontrak yang mengadakan mogok pada 26 Julai untuk menuntut laluan kerjaya adil dan diberikan manfaat sama seperti yang dinikmati oleh pegawai perubatan tetap.
Sementara itu, pakar kesihatan, Chan Chee Khoon berkata, pelantikan Khairy adalah “antara langkah bijak dalam Jemaah Menteri ‘kitar semula’ yang tidak menunjukkan prestasi”.
Ahli epidemiologi dan ahli Citizens’ Health Initiative itu berkata, Khairy harus dibenarkan mengetuai respons krisis kesihatan dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengekang pandemik.
“Prestasinya yang bagus dalam menerajui pelaksanaan program imunisasi merangkumi langkah awalnya dalam membina kapasiti pengeluaran vaksin tempatan dan beberapa perkara penting berkaitan pandemik,” katanya.
Oleh itu katanya, beliau patut meneruskan tugasnya di bawah portfolio Kementerian Kesihatan dengan koordinasi MOSTI.
Sumber – FMT