Panas!! Jumaat ini penentu nasib Peja sebagai MB Perak

Panas!! Jumaat ini penentu nasib Peja sebagai MB Perak

Pembangkang menyifatkan usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim sebagai perang terbuka di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak.

Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, usul mengejut itu di luar pengetahuan wakil rakyat pembangkang dan memperlihatkan keadaan UMNO dilihat sudah hilang sabar dengan kerajaan pimpinan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, insiden tersebut juga menunjukkan menunjukkan bahawa saluran biasa di dalam kerajaan tidak lagi efektif untuk UMNO bersuara sehingga mereka terpaksa mengemukakan usul sedemikian.

“Dahulu mereka kutuk Pakatan Harapan (PH) dan saya sendiri dituduh menjatuhkan Ahmad Faizal sedangkan kita tak pernah bawa usul sedemikian. Tetapi sekarang UMNO sendiri tidak tahan sehingga terpaksa main kasar.

“Kasihan UMNO, mereka berasa tertipu. Mereka malu kerana tuduhan terhadap PH sebelum ini jelas tidak benar. Usul ini juga membuktikan PH lebih setia dan tidak tikam belakang,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, 4 Disember depan.

Menerusi satu surat bertarikh 18 November, Abd Manaf menyatakan bahawa Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang dari Bersatu itu mempunyai keyakinan majoriti ADUN.

Justeru, beliau memohon membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan di bawah Perintah-Perintah Tetap 26(1) dibaca bersama Perintah Tetap 27(3) Dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Dalam pada itu, Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi berkata, usul tersebut memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 ADUN untuk menyelamatkan jawatan Ahmad Faizal.

Katanya, jika usul itu gagal memperoleh majoriti, Ahmad Faizal secara automatik perlu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

“Apa pun namanya, usul ini mempunyai implikasi yang jelas ke atas menteri besar dan kerajaan iaitu exco kerajaan negeri.

“Kami di pihak pembangkang ada 24 orang ADUN dan kita tidak akan menyokong usul ini kerana pendirian kita kekal menolak Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak,” katanya.

Sementara itu, mengenai keputusan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid menerima usul tersebut, Abdul Aziz berkata, ia bukan sesuatu yang luar biasa.

Katanya, perkara itu sememangnya di dalam bidang kuasa Speaker DUN asalkan ia memenuhi syarat serta peraturan ditetapkan.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/112536/EDISI/Perak/UMNO-Bersatu-di-Perak-sedang-berperang