Panas!!! Ketua Jabatan ini bidas pertimbangan KPM dalam isu pelantikan guru kontrak baharu
Saya ada terbaca satu iklan berkaitan pengambilan guru kontrak secara one-off oleh KPM. Cuma saya fikir ada satu masalah yang ketara dalam syarat pengambilannya. Calon perlu memiliki ijazah sarjana muda dengan PNGK minimum 2.50.
2.50 sudah layak jadi guru? Jika kita pernah membaca aduan tentang ramai guru yang memiliki kurang 3A SPM, saya percaya pengambilan guru dengan pointer 2.50 ini lebih tidak cermat. Universiti ini peringkat terakhir sebelum calon memasuki alam pekerjaan maka pengalaman, persediaan dan jangkaannya kita tak boleh samakan dengan pencapaian di SPM.
2.50 di universiti, hari ini, terlalu biasa. C+ purata grednya bagi semua mata pelajaran. Kalau C+ di peringkat universiti ini kiranya teruk sangatlah. Jenis tugasan tak hantar atau tak berapa nak siap. Jawab periksa entah apa-apa. Pensyarah kena tegur macam-macam. Adakah calon begini yang nak ditawarkan untuk mengajar dan mendidik anak-anak kita di sekolah?
Untuk pengetahuan, ramai sangat yang dapat 3.00 ke atas. Mengapa tak dijadikan 3.00 sebagai syarat minimum ketika kita memiliki ribuan graduan IPTA dan IPTS dengan pointer sebegitu? Cuba bayangkan pula calon C+ daripada IPTS yang melaksanakan pendidikan sebagai perniagaan. Pelajar adalah pelanggan. Ah, lagi sakit!
Kalau ada yang nak berhujah, “itu syarat minimum, bukan semestinya ambil”, maka saya juga nak bertanya, mengapa syarat minimum tidak 3.00? Kita tinggikan palang supaya ia sudah sedia ditapis. Semakin baguslah jangkaan dan harapan kita.
Kesilapan boleh berlaku dalam menetapkan syarat tersebut, kerana yang menimbangkan hal ini adalah manusia. Tetapi yang parah adalah jika ia dibiarkan tanpa diperbetulkan.
Pendidikan, tuan-tuan, bukan perniagaan.
Kemaskini: Saya khuatir penetapan pointer rendah akan menimbulkan tanggapan tak baik dan rasa selesa kepada mahasiswa di universiti. Mereka akan ambil mudah sebab 2.50 pun boleh mendapat pekerjaan, guru kerajaan pula. Bukan tak boleh bagi kerja, tapi usaha harus lebih untuk bersedia ke alam pekerjaan. Nanti apa bezanya antara mereka dengan yang ‘struggle’ untuk dapat gred terbaik?!
#shmedu
-Sahul HM-