Panas!!! KM Melaka nafi meletak jawatan
Datuk Seri Sulaiman Md Ali menafikan dakwaan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.
Sebaliknya beliau berkata, dakwaan itu adalah berniat buruk untuk mengganggu gugat kestabilan Kerajaan Negeri Melaka yang diterajuinya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 November lalu.
Menurutnya, isu sebegitu tidak sepatutnya timbul terutamanya ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka sedang fokus memperkukuhkan usaha dan tenaga untuk merampas kembali kerusi parlimen yang telah hilang semasa Pilihan Raya Umum Ke- 14 yang lalu.
“Saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan.
“Saya menafikan dakwaan bahawa saya telah meletakkan jawatan dan keterbukaan saya mendengar pandangan ahli-ahli politik negeri Melaka bukanlah suatu kelemahan.
“Sebaliknya ia adalah kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini, seperti dilaporkan MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, UMNO dan BN mempunyai agenda yang lebih besar dan utama daripada bermain politik dakwaan sedemikian.
Menurutnya, setelah memenangi PRN Melaka, November lalu lalu, beliau bersama barisan
Exco dan anggota pentadbiran kerajaan negeri berusaha gigih melaksanakan program-program pembangunan negeri Melaka.
“Ini termasuklah memenuhi aku janji-aku janji yang telah dilafazkan yang mana segala usaha ini adalah untuk memastikan negeri Melaka dan rakyatnya dapat menikmati limpahan kemajuan, pembangunan dan kemakmuran yang setanding negara maju lain.
“Saya orang parti, dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh parti,” katanya yang kini mengetuai misi pelaburan di Sarajevo, Bosnia and Herzegovina pada Sarajevo Business Forum 2022.
Turut hadir bersamanya adalah Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk melihat peluang-peluang pelaburan serta menarik pelaburan asing ke Melaka
Pada 8 Mei lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menyifatkan khabar angin Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka sebagai fitnah dan tidak berasas.
Menurutnya, Sulaiman akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Menteri sehingga tamat penggal seperti mana yang dipersetujui sebelum ini.
Pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan lima Ketua UMNO Bahagian di Melaka iaitu Kota Melaka, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Jasin dan Alor Gajah juga setuju menjadikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri.
Sulaiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 21 November tahun lalu selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.