Panas! Lagi pemimpin AMANAH keluar parti

Panas! Lagi pemimpin AMANAH keluar parti

 

Selepas didakwa ‘menghilangkan’ diri kerana tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani disahkan keluar Parti Amanah Negara (Amanah).

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk Mk Ibrahim Abd Rahman kepada Sinar Harian pada Selasa selepas mesej makluman tindakan Mohamad Taufek berkenaan telah tersebar.

“Beliau (Mohamad Taufek) tidak ada menghubungi saya secara peribadi memaklumkan keputusan itu tetapi menghantar mesej di kumpulan WhatsApp parti dalam jam 6 petang semalam (Isnin).

“Dalam kenyataannya, beliau beritahu telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung parti bahawa mulai 20 November, beliau dan isteri tidak lagi jadi ahli parti,” katanya.

Bagaimanapun MK Ibrahim enggan mengulas kemungkinan tindakan Mohamad Taufek terbabit disebabkan kecewa tidak dicalonkan pada PRN lalu.

Tambahnya lagi, beliau secara peribadi kesal dan terkejut dengan tindakan bekas Naib Pengerusi Tiga Amanah Negeri Sembilan itu yang dibuat secara tiba-tiba tanpa ada perbincangan terlebih dahulu.

“Saya memang kesal dan terkejut dengan keputusan diambil kerana ia dibuat tanpa merujuk dan berbincang dengan saya dulu.

“Saya pun belum lagi hubungi beliau untuk bertanya lanjut, tapi saya rasa tidak ada apa yang boleh dibincangkan lagi kerana beliau telah pun membuat keputusan,” katanya.

Jelasnya, ada rakan-rakan parti yang meminta kepimpinan di peringkat pusat untuk memujuk Mohamad Taufek supaya menarik balik keputusannya.

Dalam pada itu Mk Ibrahim berharap, tindakan Mohamad Taufek tidak memberi kesan kepada Amanah di Negeri Sembilan khususnya di kawasan Rembau.

“Ketika ini berlangsungnya pemilihan Amanah di kawasan-kawasan di Negeri Sembilan dan saya harap jika ada yang kalah, terimalah dengan hati terbuka.

“Jangan terlalu emosi dan bertandinglah secara sihat. Apabila keputusan diumumkan terima saja kerana jika ia terus dipanjangkan tidak akan selesai, malah akan melemahkan parti,” katanya.

Sementara itu Mohamad Taufek ketika dihubungi memaklumkan tiada apa-apa kenyataan daripadanya buat masa ini.

Untuk rekod, Mohamad Taufek kali pertama menjadi ADUN Paroi ketika bertanding atas tiket Pas pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Bagaimanapun pada PRU13, beliau yang bertanding atas tiket Amanah tewas kepada calon BN, Mohd Ghazali Wahid, namun kembali menjadi ADUN di kawasan itu selepas menang pada PRU14.

Pada PRU15, nama beliau digugurkan untuk bertanding dan digantikan dengan Norwani Ahmat (PH-Amanah), namun tewas dalam pertembungan tiga penjuru dan dimenangi oleh Kamarol Ridzuan Mohd Zin (PN-Pas).