Panas!!! Mengundi ikut ‘wahyu’ parti amalan lapuk, dakwa Shahidan

Panas!!! Mengundi ikut ‘wahyu’ parti amalan lapuk, dakwa Shahidan

Kewajipan menjadikan keputusan parti sebagai panduan sekiranya wujud pengundian pada sidang Parlimen disifatkan bercanggah dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Pengerusi Perikatan Nasional Backbenchers (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata pencerahan daripada kepemimpinan UMNO sebelum ini menyatakan bahawa Ahli Parlimen parti itu boleh menggunakan budi bicara mereka dalam sidang Parlimen.

Katanya, kebebasan itu termasuk sekiranya wujud pengundian bagi menentukan kelulusan sesuatu rang undang-undang atau urusan lain sepanjang persidangan dewan.

“Namun demikian, merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pada 8 Julai lalu, terdapat pertambahan ketetapan baharu yang dikenakan kepada Ahli Parlimen UMNO.

“Ia menyatakan bahawa mereka perlu menjadikan keputusan parti sebagai panduan di dalam melaksanakan tanggungjawab ketika sidang Parlimen.

“Perkara ini dilihat tidak menggambarkan keputusan awal yang diumumkan Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).

“Sehubungan itu, kami Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpegang kepada kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO iaitu memberikan kebebasan budi bicara untuk membuat keputusan ketika sesi pengundian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian semalam dilaporkan menerima mandat untuk memberikan butiran tambahan berhubung keputusan Mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung secara maya, kelmarin.

Butiran itu merujuk kepada ketetapan MKT mengenai kebebasan kepada Ahli Parlimen UMNO dalam menggunakan budi bicara apabila berlaku pengundian di Dewan Rakyat, namun difahami bahawa semua keputusan parti wajar dijadikan panduan ketika melaksanakan sebarang tanggungjawab.

Sekiranya dihitung, UMNO ketika ini mempunyai 38 Ahli Parlimen, dengan 16 daripadanya menyandang jawatan menteri atau timbalan menteri.

Bakinya iaitu seramai 21 ialah Ahli Parlimen biasa, manakala seorang lagi menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Shahidan berharap semua pihak memberikan penekanan utama kepada usaha melawan COVID-19 dan kesejahteraan kehidupan rakyat, berbanding terus berpolitik ketika pandemik melanda negara.

“Ucapan terima kasih juga dizahirkan kepada majoriti Ahli Parlimen UMNO dan BN serta seluruh Ahli Parlimen PNBBC yang menyatakan pendirian untuk terus menyokong kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri,” katanya.

Sumber – Bharian