Panas!! Muhyiddin tetap menang besar walau diancam Umno

Panas!! Muhyiddin tetap menang besar walau diancam Umno

Jika diambil kira tingkah laku dan kenyataan pembangkang dan juga kawan yang tidak macam kawan, lulusnya Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat petang semalam bolehlah dilihat sebagai satu kemenangan besar buat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya. Setidak-tidaknya kemenangan moral.

Kerana sebelum ini ada tanda-tanda yang memberi “isyarat” Belanjawan 2021 tidak akan lulus – lantas membawa 1001 masalah kepada Muhyiddin termasuk memaksa beliau melepaskan jawatan perdana menteri. Bila perdana menteri letak jawatan kita tahu sekali gus kerajaannya tumbang.

Tanda-tanda yang dimaksudkan ialah kenyataan Ahli Parlimen pembangkang yang “mengancam” tidak akan menyokong Belanjawan 2021 jika kerajaan tidak memenuhi permintaan yang menurut mereka akan memberi kebaikan kepada rakyat.

Kawan Muhyididn yang macam bukan kawan yang dimaksudkan pula ialah Umno. Khususnya Ahli Parlimen parti itu (juga yang bukan Ahli Parlimen) yang tidak berada dalam kerajaan Perikatan Nasional. Dalam banyak hal mereka dilihat bertindak seperti pihak lawan dengan mengenakan pelbagai desakan dan tekanan. Mungkin juga ancaman. Walaupun sebahagian daripada mereka duduk dalam pentadbiran Muhyiddin. Bagi Belanjawan 2021, gambarannya ialah ramai YB Umno tidak akan menyokong.

Kerajaan sendiri pada hemat saya seakan-akan tidak yakin belanjawan yang dibentang akan diluluskan. Bagi saya, ada tanda panik apabila tempoh hari kakitangan Jabatan Penerangan dengan menaiki van dikerah untuk memberitahu atau menerangkan kepada rakyat betapa baik dan bagusnya belanjawan ini.

Ini mengingatkan saya pada kaedah propaganda yang dijalankan pemerintah pada 1950-an dan awal 1960-an, terutama untuk melawan ancaman komunis masa itu.

Kali ini langkah menggunakan Jabatan Penerangan agak pelik kerana yang akan mengundi di Parlimen wakil rakyat, bukannya rakyat. Agaknya strateginya ialah untuk menembusi sasaran iatu si wakil rakyat menerusi rakyat?

Apa pun sehari sebelum proses pengundian dijadual berlangsung ada laporan media memetik sumber mendakwa kemungkinan pengundian akan ditangguhkan kerana “beberapa kementerian belum selesai membuat penggulungan” dan sebab-sebab lain.

Tapi yang nyata pengundian dijalankan seperti jadual. Perlu diingat prosesnya ialah setelah menteri terakhir (dalam kes ini menteri kewangan) selesai membuat penggulungan perbahasan peringkat dasar – speaker akan mengadakan undian suara.

Speaker terlebih dahulu akan bertanya sokongan pihak yang setuju sebelum menguji undian suara mereka yang tidak setuju.

Sekiranya ada lebih banyak suara Ahli Parlimen yang setuju, undian akan diluluskan.

Namun Ahli Parlimen boleh mempertikaikan keputusannya. Sekiranya 15 Ahli Parlimen menyokong pertikaian itu, undi blok atau belah bahagi akan diadakan.

Namun untuk undian Belanjawan 2021 cubaan Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Mahfuz Omar (Pokok Sena) untuk pengundian dibuat secara “en bloc” tidak kesampaian apabila cadangan beliau gagal mendapat sokongan sekurang-kurang 15 Ahli Parlimen. Hanya 13 Ahli Parlimen berdiri menyokongan cadangan Mahfuz.

Kata Annuar Musa, pemimpin Umno yang duduk dalam kabinet Muhyiddin, “percubaan pembangkang ditewaskan pembangkang sendiri”.

Dr Mahathir Mohamad jelas marah. “Kerajaan yang didirikan melalui rasuah dan sogokan, kerajaan korup boleh pula disokong oleh Ahli Parlimen pembangkang tanda sedikit pun berasa bersalah. Inilah yang berlaku di Dewan Rakyat”.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pula mendakwa beliau meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, untuk tidak melakukan undi belah bahagi kerana “tidak mahu dilihat menolak isenstif baharu yang diumumkan menteri kewangan”.

“Pembangkang gagal dari sudut kebersamaan yang tidak wujud dalam satu suara yang jelas terhadap budget”, kata felo Ilham Centre, Dr Hamidin Abdul Hamid.

Sebaliknya, kata Hamidin, Muhyiddin berjaya dapat “suara ramai” ahli parlimen untuk belanjawan ini dibahaskan di peringkat jawatankuasa.

Bagaimana? Adakah kerana kerajaan mengambil kira “feedback”, teguran dan cadangan pihak lawan?

Hamidin setuju. “Ya, ada perubahan dari segi dasar yang dilihat positif terutamanya oleh BN (Umno),” merujuk peruntukan tambahan yang diumum menteri kewangan semasa penggulungan seperti dinyata Anwar juga.

Bagi penganalis politik Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid, sekiranya kerajaan terlebih dahulu mendengar reaksi dan maklum balas ramai dan tidak berlengah-lengah, ia tidak perlu membuat perubahan pada saat-saat akhir “ketika timbul kemungkinan Belanjawan 2021 akan ditolak”.

Beliau tidak melihat tindakan kerajaan itu sebagai sesuatu yang mengambil kira teguran pembangkang atau Umno. Sebaliknya, menurut Ahmad Fauzi, “ini didorong kebimbangan Pakatan Harapan kembali berkuasa dan ini memberi motivasi suara suara Melayu dalam Perikatan Nasional dan Umno”.

Apa pun – Belanjawan 2021 sudah lulus. Betul begitu? Kedudukan Muhyiddin sudah selamat?

“Ini bukan bermaksud undi percaya. Ini nafas lega buat sementara untuk menanti ketidakpastian yang lama,” kata Hamidin.

‘Ketidakpastian yang lama’ menurut beliau membawa maksud “belanjawan ini masih boleh digagalkan di peringkat jawatankuasa dan bacaan ketiga”.

Perlu diingat yang lulus ini ialah pada peringkat dasar, iaitu melepasi undian pertama. Di peringkat jawantankuasa, kata Hamidin, setiap perincian akan diperdebatkan dan mesti dipertahankan oleh kerajaan.

“Oleh Itu”, kata Hamidin, “setiap bacaan suhu akan turun naik”. Belanjawan 2021 akan dibawa ke peringkat jawatankuasa pada Isnin manakala bacaan ketiga dijadual 15 Disember bila mana pengundian boleh dijalankan.

Anwar pula berikrar pihaknya akan meminta undi belah diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika Ahli Parlimen membahaskan perbelanjaan setia kementerian.

Fauzi tidak melihat apa yang berlaku di Parlimen petang semalam sebagai satu kemenangan buat Muhyiddin. Malah katanya “ini sekadar menunjukkan lagi kerajaan PN sememangnya lemah sehingga tidak boleh ‘guarantee’ sokongan boleh didapati daripada penyokong sendiri”.

Hamidin agak senada. Beliau melihat keadaannya begini: “ini bermakna talian hayat Muhyiddin sekarang ini di tangan BN-Umno. Perubahan belanjawan adalah manifestasi keadaan itu”.

Dalam erti kata lain, Muhyiddin terpaksa terus “kaw tau” kepada Umno dan Umno akan terus menekan dan menuntut.

Berdasarkan itu, bak kata Inggeris, “Muhyididn is not out of the woods yet”.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Sumber: Free Malaysia Today