Panas!! PAS sangkal Ketua Pemuda Umno berkait agihan kerusi dalam MN

Panas!! PAS sangkal Ketua Pemuda Umno berkait agihan kerusi dalam MN

Muafakat Nasional (MN) akan terus menjadi wadah rundingan pengagihan kerusi antara UMNO, PAS dan PPBM bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata penubuhan Majlis Presiden parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam, tidak menghakis peranan MN berhubung pengagihan kerusi untuk PRU, melibatkan tiga parti Melayu terbesar itu.

Tuan Ibrahim berkata persetujuan sebelum ini untuk PAS, UMNO dan PPBM merunding pengagihan kerusi menerusi MN akan terus dilaksanakan.

“Sebelum ini (memang) rundingan kerusi antara UMNO dan PAS tetapi dalam mesyuarat baru-baru ini kita setuju rundingan kerusi akan libatkan terus PPBM.

“Bermakna tiga parti akan duduk sama berbincang,” katanya kepada FMT.

Beliau menolak dakwaan parti Islam itu menyisihkan gagasan MN yang dimeterai bersama UMNO pada Sept 2019 dan kemudian disertai oleh PPBM pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajidi Dusuki menegaskan parti itu tidak akan berunding secara terus dengan PAS mengenai pengagihan kerusi bagi PRU-15, sebaliknya menggunakan platform Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, tindakan UMNO itu langkah wajar memandangkan PAS secara rasmi menyertai PN sebaga parti komponen.

PAS dan PPBM adalah parti komponen PN, tetapi UMNO-BN hanya menyertai kerajaan PN tetapi tidak terikat kepada gabungan itu dari segi politik.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, penyertaan UMNO, PAS dan PPBM dalam rundingan agihan kerusi akan memastikan gandingan mantap untuk menghadapi PRU 15.

“Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan. Musuh politik akan gembira melihat kita berpecah. Keutamaan kita adalah musyawarah (perbincangan), pintu kepada penyelesaian terhadap apa jua permasalahan,” katanya.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/18/mn-tetap-wadah-rundingan-kerusi-umno-pas-ppbm-hadapi-pru-kata-tuan-ibrahim/