Panas! Peja dikaitkan dengan skandal tanah
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan surat tular di media sosial berhubung skandal pemberian tanah yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.
Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, pendedahan itu dilihat membimbangkan apabila pemberian secara sah itu melibatkan lebih 1,200 hektar tanah di seluruh negeri.
Menurutnya, kebimbangan itu berasas apabila tanah turut diberikan kepada syarikat yang baharu ditubuhkan hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Difahamkan banyak lagi kelulusan sedang diberi kerajaan Perak kononnya untuk pembangunan ladang hutan tetapi bertujuan mengambil kayu balak sehingga mengakibatkan masalah alam sekitar terutamanya di Hutan Simpan Kledang Saiong yang merupakan kawasan tadahan air.
“Ada kelulusan diberikan kepada syarikat yang ditubuhkan pada Ogos 2018 tidak sampai setahun tetapi sudah mendapat tanah seluas 298.4 hektar tanah.
Difahamkan ada tender terbuka, bila tender diiklankan dan apakah dasar yang melayakkan sebuah syarikat tanpa pengalaman menguruskan tanah?” katanya ketika ditemui di pejabat SPRM di Meru Raya di sini hari ini.
Putra membuat laporan itu susulan tular surat bertajuk ‘surat karam’ yang memaparkan beberapa projek penerokaan hutan dan pasir yang didakwa diberikan kepada individu yang dikaitkan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ekoran pendedahan itu, Hamidah berkata, Perak seolah-olah mengadakan ‘jualan murah’ bagi pemberian tanah tanpa had.
Bagaimana Perak ditadbir? Selalunya keputusan dibuat ada ‘separation of power yang mempunyai ‘executive’, ‘legislative’ dan ‘judicial’ yang bertindak sebagai ‘check and balance’ tetapi saya lihat semua berterabur.