Panas!!! Pendaftaran vaksin AZ kelam kabut, KJ didesak perjelas kelemahan sistem bernilai RM70j

Panas!!! Pendaftaran vaksin AZ kelam kabut, KJ didesak perjelas kelemahan sistem bernilai RM70j

 

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berkata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, perlu menjelaskan kemarahan rakyat terhadap kegagalan sistem tempahan janji temu bagi pusingan kedua vaksin AstraZeneca.

“Sangat teruk apabila rakyat diperlakukan seperti pengemis, perlu bertarung untuk mendapatkan vaksin bagi menyelamatkan nyawa mereka sementara di sebelah sana (kerajaan) tidak mengambil masalah ini dengan serius.

“Adakah mereka zombi, perlu lalui semua ini?Ini bukan permainan ‘orang lapar’ di mana rakyat perlu berjuang untuk mendapatkan sumber. Inilah realiti kerajaan masa ini yang menyusahkan kita,” katanya di Facebook.

Pendaftaran pusingan kedua untuk vaksin AstraZeneca dibuka kepada orang awam bawah umur 60 tahun di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor serta Kuching dan Miri di Sarawak.

Terdahulu, Khairy berkata sebanyak 1,261,600 dos diperuntukkan untuk pusingan kedua inisiatif Pelawaan Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ).

Bagaimanapun, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan sistem tempahan janji temu ditutup hanya selepas satu jam dibuka.

Pendaftaran pusingan kedua itu membangkitkan kemarahan rakyat, kecewa dan keliru terhadap sistem yang disifatkan “tidak cekap.”

Antara aduan disuarakan di laman sosial adalah tidak dapat melihat pusat pemberian vaksin walaupun telah “refresh” laman web itu beberapa kali.

Malah, ada yang terpaksa berulang kali memasukkan data peribadi selama satu jam namun masih gagal menghantar permohonan temu janji.

Dalam pada itu, Lim berkata, keadaan sistem laman web didakwa bernilai RM70 juta itu sendiri dikatakan tidak masuk akal.

“Kami dimaklumkan pendaftaran akan dibuka pada 12 tengah hari, dan sehingga waktu itu, tiada apa yang berlaku dan dimaklumkan perlu tunggu sehingga 12.15 tengah hari namun laman web itu hanya boleh diakses pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata, alasan diterima oleh pihaknya adalah kadar trafik yang tinggi.

“Mengapakah masalah ini tidak dapat dijangka memandangkan masalah yang sama dihadapi semasa mendaftar vaksin AstraZeneca pusingan pertama dan kedua?

“Pasukan saya berusaha membantu lebih 100 orang untuk dapatkan janji temu vaksin. Sayangnya, kerana kesilapan itu kita hanya dapat melakukan kurang daripada 10!,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii, berkata JKJAV seharusnya sudah bersedia menangani sebarang kesilapan teknikal membabitkan trafik yang tinggi, memandangkan masalah ini bukan kali pertama berlaku.

“Jika kerajaan tahu bahawa sistem pusat tidak mampu menampung trafik dari seluruh negara, mereka sepatutnya mengasingkan pendaftaran mengikut negeri pada hari yang berbeza.

“Apa yang mereka perlu adalah menempah kuota tertentu berdasarkan populasi dan kadar efektif kawasan tersebut,” katanya.

Malah, Kelvin berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada warga emas bahawa mereka tidak menerima sebarang mesej pengesahan dalam tempoh 24 jam seperti diberitahu dalam sistem pendaftaran pusingan kedua yang dibuka Ahad lalu.

“Saya menggesa kerajaan untuk belajar daripada kesilapan mereka dan lebih proaktif. Ini bukan caranya untuk memupuk keyakinan terhadap Program Imunisasi Kebangsaan,” katanya. – FMT