Panas!!! Penderma vaksin dakwa pegawai KJ cuba pengaruhinya serahkan wang

Panas!!! Penderma vaksin dakwa pegawai KJ cuba pengaruhinya serahkan wang

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata dakwaan lelaki misteri yang menjanjikan dua juta dos vaksin Sinovac kepada Pulau Pinang adalah “tuduhan yang serius”.

Ahli perniagaan dari Sabah itu mendakwa, seseorang daripada pejabat Khairy meminta wang sumbangan untuk membeli vaksin itu dipindahkan kepada sebuah “syarikat di Kuala Lumpur”.

Dalam satu siri ciapan Twitternya hari ini, Khairy berkata, pegawainya hanya meminta bukti daripada ahli perniagaan itu pesanan vaksin dapat dibuat, dan bukan untuk memindahkan wang itu kepada syarikat seperti didakwanya.

Beliau berkata, ahli perniagaan itu telah menolak permintaan pegawainya untuk menunjukkan bukti sumbangan bagi membeli dua juta dos untuk Pulau Pinang, dengan mengatakan dia “mempunyai wang di sebuah akaun di Hong Kong”.

“Dia (pegawai) kemudian memberitahunya bahawa beliau sama ada dapat menunjukkan bukti sumbangan itu atau memberikan sumbangan secara rasmi kepada kerajaan Malaysia yang akan kami sampaikan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, bukan untuk dia membayar syarikat apa pun, yang turut ditolak.

“Seperti yang saya katakan semalam, saya gembira dapat menguruskan sumbangan itu sekiranya Yong dapat membuktikan bahawa dia berupaya mendapatkan vaksin atau memberikan sumbangan rasmi kepada kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Malay Mail melaporkan seorang bernama Yong Chee Kong, yang mendakwa dari syarikat pelaburan berpangkalan di Hong Kong, Xintai Enterprise Development Limited, mengatakan hasratnya untuk menyumbang vaksin kepada Pulau Pinang selepas Sabah tidak mahu menerima tawarannya.

Yong berkata, beliau memberitahu pembantu Khairy bahawa dia hanya akan menyumbangkan vaksin yang dibeli sendiri dan tidak mahu menawarkan wang kepada pihak lain untuk membelinya.

“Tetapi mereka (pembantu Khairy) mahu saya membayar kepada sebuah syarikat di KL. Saya tidak mahu. Saya tahu kosnya,” beliau dipetik berkata.

Semalam, Khairy berkata janji oleh “penderma” dan sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong kepada Pulau Pinang kemungkinan besar palsu, kerana carian syarikat di bandar itu menunjukkan bahawa ia sebenarnya tidak wujud.

Terdahulu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mendakwa Kementerian Kesihatan menghalang Pulau Pinang daripada mendapatkan vaksin daripada penderma itu. Sebagai respons terhadap dakwaan palsu itu, beliau berkata bahawa penderma perlu tampil membersihkan namanya. – FMT