Panas! Pengunduran diri 3 tokoh terkenal daripada senarai ahli Dewan Tertinggi ngo Muafakat Nasional undang tanda tanya

Panas! Pengunduran diri 3 tokoh terkenal daripada senarai ahli Dewan Tertinggi ngo Muafakat Nasional undang tanda tanya

Tan Sri Annuar Musa sekali lagi menerima tamparan apabila seorang lagi ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional yang diasaskannya mengumumkan menarik diri.

Terkini, pelakon Ummi Nazeera, 32, hari ini turut mengumumkan pengundurannya di dalam Muafakat Nasional, seterusnya mengikut jejak penyanyi Datuk Jamal Abdillah dan Tan Sri Noh Omar kelmarin.

Memetik Harian Metro, Ummi menerusi perkongsian di Instagram berkata, keputusan itu dibuatnya selepas mengambil kira kegusaran daripada peminat-peminat serta pihak-pihak berkepentingan.

“Saya akan terus fokus berkarya dalam industri seni dan juga fokus kepada keluarga saya.

“Terima kasih atas kesudian Muafakat Nasional melantik saya dan selamat maju jaya kepada mereka sebagai sebuah NGO. Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua,” tulisnya.

Pada 15 Disember lalu, Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Ummi bersama Jamal dan Datuk Seri Eizlan Yusof adalah antara 30 individu yang dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN).

Mereka yang dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti profesional, ahli akademik, pempengaruh serta melangkaui parti politik yang akan membantunya menggerakkan pertubuhan NGO berkenaan.

Sementara itu, suami Ummi iaitu Dr Mohd Izzar Anwari berkata, dia mengambil maklum mengenai tular berkaitan isterinya menyertai MN sebagai ahli.

“Pertubuhan MN ini bukannya parti politik dan juga tidak merujuk kepada pakatan parti Umno dan Pas yang dibentuk pada 2019. Selepas saya amati, pertubuhan ini berpegang kepada matlamat-matlamat yang mampu memberi kebaikan kepada masyarakat.

“Isteri saya sedar dan amat menekankan bahawa sebagai seorang pempengaruh, dia perlu bersikap neutral dan tidak menggunakan platformnya untuk menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti yang berunsurkan politik secara terang-terangan.

“Jika tidak, saya akan menjadi orang pertama yang akan menghalangnya. Semoga sebarang kekeliruan dapat dielakkan. Selamat maju jaya kepada pertubuhan Muafakat Nasional,” katanya.

Terdahulu, Jamal Abdillah mengumumkan pengunduran dirinya dari MN atas alasan prinsip dirinya tidak sesuai terbabit perihal sebegitu.