Panas!!! Pilih guna lambang PN, UMNO Melaka khuatir Pas berdepan kegagalan

Panas!!! Pilih guna lambang PN, UMNO Melaka khuatir Pas berdepan kegagalan

Tindakan PAS menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Melaka pada 20 Nov ini tidak menjejaskan hubungan parti itu dengan Umno bawah Muafakat Nasional (MN),lapor portal akhbar FMT.

Timbalan Ketua Umno Melaka, Mohamad Ali Mohamad, berkata parti itu sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dengan PAS ke arah mencari kebaikan, perdamaian, dan kekuatan ummah bagi penyatuan umat Islam.

“Umno tidak akan memutuskan hubungan dengan PAS. Kita pun tidak tahu apa sebab PAS bertindak sedemikian, tetapi kita yakin dan percaya keseluruhan ahli PAS mengharapkan supaya satu titik pertemuan yang baik akan berlaku antara Umno dan PAS bagi membela umat Islam terutama orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sistem Pintar Kawalan Trafik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Semalam, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, memaklumkan parti itu akan menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka selepas perkara itu diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, berkata tindakan PAS untuk bersama Bersatu bawah PN dikhuatiri membawa PAS ke arah kegagalan.

Bagaimanapun, Umno Melaka tidak berdukacita dengan tindakan PAS kerana ia telah bersedia untuk menghadapi PRN Melaka bersama parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov, manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt lalu, susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu), dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).