Panas!!! PKR berjaya heret Zuraida jalani perbicaraan kes saman RM10 juta
Selepas dengan angkuh mendakwa saman Parti Keadilan Rakyat terhadapnya sebagai tidak masuk akal, termasuk mencabar bekas partinya itu meneruskan tindakan saman terhadapnya, Zuraida akhirnya terpaksa menelan kembali kata-katanya selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak pernohonannya membatalkan saman terhadapnya hari ini.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin untuk membatalkan saman PKR menuntut beliau membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendapati ada isu yang boleh dibicarakan dalam tuntutan saman yang difailkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, seperti dilaporkan portal akhbar Astro Awani.
“Tuntutan saman ini bukanlah suatu tuntutan yang ‘biasa’ dan ‘tidak dapat dipertahan’ yang boleh dibatalkan kerana terdapat kausa tindakan yang jelas terhadap defendan serta isu berkaitan bon ditandatangani oleh defendan pada 25 April 2018 perlu diperjelas dalam perbicaraan penuh.
“Defendan perlu memberi keterangan kenapa beliau menandatangani bon itu dan apakah tujuan ia ditandatangani serta sama ada terdapat syarat-syarat tersirat. Oleh itu, perlunya keterangan saksi kedua-dua pihak untuk menjelaskan tujuan bon itu dilaksanakan.
“Mahkamah juga berpendapat adalah tidak wajar tuntutan tersebut dibatalkan pada peringkat ini. Oleh itu, mahkamah menolak permohonan defendan untuk membatalkan saman plaintif dengan kos RM5,000,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu pada prosiding secara dalam talian (e-Review) hari ini yang turut disertai peguam Chiew Choon Man bagi pihak PKR.
Peguam Muhammad Nizamuddin Hamid, yang mewakili Zuraida, ketika dihubungi pemberita berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.
Pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 Sept 2020 mendakwa Zuraida telah menandatangani bon itu yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.
PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Feb tahun lepas, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.
PKR turut menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sekiranya PKR berjaya dalam tuntutan samannya terhadap Zuraida, ianya bakal mengancam nasib 13 lagi Ahli Parlimen yang turut bersama-sama meninggalkan parti tersebut dengan niat khianat.