Panas!!! Politik Malaysia beracun dan penuh toksik, dakwa Rafidah
Tokoh politik veteran, Rafidah Aziz berkata, Malaysia sedang menghadapi darurat politik beracun dan toksik, dengan banyak kesilapan yang berlaku ketika ini perlu diperbetulkan.
“Sebelum nasi menjadi bubur…begitu banyak penulisan, ucapan, dan siaran dalam pelbagai media tentang isu-isu yang sangat membimbangkan.
“Bimbang kerana ia melibatkan soal amanah dan tanggungjawab, perbuatan di luar dugaan, menarik perhatian global yang negatif dan malangnya semua ini bukan kerana pencapaian yang boleh dibanggakan.
“Tetapi, kerana perkara yang memalukan kita dan memburukkan prestasi dan imej yang membabitkan rasuah serta pelbagai penyelewengan dalam pentadbiran,” tulisnya di Facebook.
Bekas ketua Wanita Umno itu berkata, dunia luar nampak dengan jelas dan tahu apa yang berlaku di dalam negara, tetapi pihak berkuasa di Malaysia yang “tahu dan nampak” sebaliknya mengamalkan sikap “tidak nampak”, “tidak dengar” serta “tidak bercakap”.
Katanya, dunia luar melihat Malaysia dengan penuh kehairanan kerana kuasa dan wibawa pihak berkuasa seolah-olah sudah tiada.
Rafidah yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, individu yang berkuasa sepatutnya melindungi hak rakyat, malangnya mereka mengamalkan “taat setia” secara membuta tuli, gagal membezakan kepentingan diri, negara dan rakyat.
Beliau turut menasihatkan rakyat jangan sekali-kali merasa “terhutang budi” sehingga sanggup menutup mata dan telinga terhadap perkara tidak betul, khasnya menggunakan agama untuk menghalalkan yang haram dan salah.
“Jangan sekali-kali gadaikan masa depan negara semata-mata dengan apa yang kita diberi sekarang…terutama bila pilihan raya umum sudah dekat.
“Bila gelojoh kuasa, manusia akan hilang pedoman, dan kompas hidup akan kucar-kacir.
“Tetapi, kesan buruk daripada hutang negara yang meningkat, rasuah, salah guna kuasa dan harta negara akan melanda negara bertahun-tahun lamanya, sampai ke generasi selepas kita.” – FMT