Panas!!! Proksi Rafizi dan Anwar bakal berentap merebut kepimpinan AMK

Panas!!! Proksi Rafizi dan Anwar bakal berentap merebut kepimpinan AMK

Bekas aktivis pelajar, Fahmi Zainol mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Pemuda PKR dalam pemilihan parti Mei ini.

Ketua sayap parti berkenaan kini disandang Akmal Nasir.

Dalam sidang media hari ini, Fahmi yang juga Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, turut memperkenalkan pasukannya yang akan bertanding dalam pemilihan parti terbabit.

Mereka termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dan Ketua Pemuda PKR Melaka, Prasanth Kumar yang masing-masing akan merebut jawatan Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua sayap itu.

Selain itu, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran juga menyertai barisan diketuai Fahmi dan akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Eksekutif Pemuda PKR.

Fahmi berkata, beliau yakin dengan barisan pimpinannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti ADUN, pelajar, aktivis politik dan profesional.

“Saya yakin kepelbagaian ini mampu menambat hati akar umbi dan juga belia Malaysia daripada pelbagai latar belakang.”

Katanya, beliau akan menumpukan tiga dasar utama – meraih sokongan pengundi muda dan pengundi kali pertama, meningkatkan penyertaan belia dan sayap Pemuda dalam pilihan raya umum ke-15 serta mengukuhkan Pemuda PKR.

Berhubung calon lain yang mungkin bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda, Fahmi berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan bekas aktivis pelajar, Adam Adli dan berharap persaingan sihat antara mereka.