Panas!!! Rafidah terpaksa ajar KJ bagaimana cara uruskan pemberian vaksin

Panas!!! Rafidah terpaksa ajar KJ bagaimana cara uruskan pemberian vaksin

Bekas menteri persekutuan, Rafidah Aziz menggesa kerajaan membawa vaksin Covid-19 kepada rakyat, bukannya menyebabkan mereka membanjiri pusat pemberian vaksin (PPV) mega.

Veteran Umno itu berkata, PPV sepatutnya “berukuran tepat” dan turut terletak di peringkat daerah, dengan menggunakan dewan serbaguna supaya orang ramai dapat diuruskan dengan baik.

Katanya, PPV itu sepatutnya hanya menerima penduduk daerah sama untuk memudahkan penyimpanan rekod dan pengesanan.

Rafidah berkata, langkah itu juga dapat mencegah kemungkinan wujud “kluster pusat vaksinasi Covid-19” yang berpunca daripada kesesakan orang ramai, dengan ramai yang beratur berjam-jam sebelum divaksin.

“Kita tidak memerlukan (pangkalan data) IT mega RM70 juta ditubuhkan bagi pendekatan akal ini disebabkan kumpulan vaksinasi ‘disasarkan’. Janji temu menjadi lebih bermakna dan rakyat tidak perlu merentas sempadan ke pusat mega.

“Data yang dikumpul di pusat daerah ini boleh dikumpul semak Pejabat Kesihatan Daerah, kemudian ke Pejabat Kesihatan Negeri untuk dianalisis dan dihantar ke Kementerian Kesihatan,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mempersoalkan kenapa Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah tidak menganggotai Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), ketika infrastruktur penjagaan kesihatan awam diperlukan untuk pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, Malaysia tidak boleh membuang masa atau wang lagi dengan melakukan perkara dalam “skala mega” dan beliau menggesa kerajaan bersikap realistik serta cekap kerana setiap saat itu penting.

“Tiada masa untuk berpolitik dan pendekatan mega. Vaksin perlu sampai kepada rakyat, bukan sebaliknya. Kita memerlukan pelancaran sesuai di peringkat akar umbi.”

Terdahulu, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin mengumumkan lima PPV mega akan dibuka di Lembah Klang, tambahan kepada Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Ia akan ditempatkan di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Pusat Konvensyen Setia City di Selangor, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Stadium Negara di Kuala Lumpur. – FMT