Panas!!! Sekadar didenda dan bon berkelakuan baik, wargamaya berang hukuman pemandu mabuk terlalu ringan
Seorang peraih ikan dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengakibatkan kematian Irwan Herman Kamaruddin, di Jalan Kuantan Bypass, pada 24 Mei 2020.
Tertuduh, Teoh Kian Peng, 43, didakwa memandu dalam keadaan mabuk dan melawan arus sehingga menyebabkan kepada kematian pekerja Alam Flora berkenaan.
Tertuduh, dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagar RM20,000 dengan seorang penjamin dan denda RM8,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayarnya, selain perlu mematuhi syarat tidak boleh menyertai aktiviti berkaitan alkohol selama dua tahun.
Hakim Zainal Azman Ab Aziz ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, usaha tertuduh membantu keluarga mangsa sejak kejadian itu tanpa arahan mahkamah adalah antara pertimbangan yang diambil dalam membuat keputusan mengenai hukuman diputuskan.
Kian Peng juga diwajibkan melapor diri di balai polis pada Isnin pertama setiap bulan, selain lesen memandu digantung lima tahun dan butiran kesalahan itu direkodkan pada lesen memandu miliknya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal Abu Hasan, manakala tertuduh diwakili enam peguam, diketuai Zailan Mohamed.
Mengikut kertas pertuduhan, Kian Peng didakwa memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kematian Irwan Herman di Jalan Kuantan Bypass, pada 25 Mei 2020 jam 9.20 malam.
Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan orang awam antara jam 9.10 malam hingga jam 9.15 malam di Jalan Kuantan Bypass, pada tarikh sama.
Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kemalangan maut, Kian Peng didakwa mengikut Seksyen 44(6) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44 akta yang sama.
Sementara bagi kesalahan memandu secara melulu pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber – FMT