Shahidan berkata Ahli Parlimen itu memberitahunya beliau menandatangani dokumen sokongan itu pada 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta seorang individu “kenamaan.”
“Jadi saya rasa ini satu kesalahan yang perlu diambil tindakan,” kata beliau di sidang akhbar dalam talian.
Shahidan tidak memperincikan sama ada dokumen sokongan untuk Anwar itu berbentuk akuan bersumpah (SD) atau lain.
Beliau juga tidak menamakan Ahli Parlimen yang didakwa menandatangani dokumen itu, mahupun, “orang kenamaan” bersama Zahid dan Anwar yang dikatakan hadir sama.
“Tapi benda ini (seorang Ahli Parlimen tandangan sokong Anwar) berlaku 7 Jun lepas,” kata Shahidan.
Katanya pendedahan itu antara tiga bukti jelas menunjukkan Zahid melanggar ketetapan parti.
“Persidangan Agung Umno (PAU) terang sebut bahawa menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sampai PRU. PAU juga kata ‘No Anwar, No DAP’,” katanya.