Panas!!! Stop it! Amarah Tok Mat sampai ke kemuncak
Keputusan membuka semula sesi persekolahan secara berperingkat bermula 1 Mac seperti yang diputuskan Kementerian Pendidikan dilihat mengelirukan terutama mengenai hala tuju sebenar mod pendidikan digital kementerian tersebut.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebelum membuat keputusan membuka semula sesi persekolahan, adalah sangat mustahak mengambil kira segala kemungkinan dan kemampuan negara menangani impak penularan Covid-19.
Beliau berkata, keputusan membuka dan menutup sekolah secara sela menyela (flip flop) harus dihentikan dan sewajarnya Kementerian Pendidikan memperkasa pembelajaran digital sementara negara pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19.
“Ia sangat menyusahkan pelajar dan ibu bapa serta guru-guru. Kebanyakan ibu bapa telah bergolok bergadai untuk membelikan pelbagai peranti digital bagi pembelajaran secara dalam talian.
“Kerajaan pula baru sahaja melancarkan DidikTV bagi maksud menjayakan mod pengajaran dan pembelajaran di rumah. Semua ini menghantar isyarat yang sangat mengelirukan tentang ke mana hala tuju sebenar mod pendidikan digital Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, pendidikan anak-anak adalah urusan penting yang tidak boleh terhenti dan menjadi kucar kacir dengan keputusan secara sela menyela sebegitu. – UO