Panas!!! Susulan kadar jangkitan Covid-19 terus meningkat, Sultan Kedah utus warkah lahir kekecewaan terhadap Sanusi
KENYATAAN AKHBAR
ALOR SETAR – 17 Ogos 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim
Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman menzahirkan dukacita dengan kadar jangkitan Covid-19 baharu yang dilaporkan setiap hari di negeri ini yang kekal menunjukkan jumlah empat angka sejak hampir sebulan lalu.
Baginda bertegas, kerajaan harus memberi pertimbangan wajar untuk memperluaskan vaksinasi kepada populasi yang layak di negeri ini kerana buat masa ini hanya kaedah berkenaan yang dilihat berkesan mengawal kadar jangkitan baharu.
Sehingga 16 Ogos 2021, kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di negeri Kedah berumur 18 tahun ke atas yang telah lengkap 2 dos suntikan baru mencecah 31.8 peratus manakala yang memperoleh 1 dos suntikan adalah sebanyak 55 peratus. Ini menunjukkan, sekiranya suatu langkah yang serius tidak diambil, Kedah mungkin akan lewat mencapai imuniti kelompok seperti yang dihasratkan.
Sehubungan itu, Baginda menyeru hospital-hospital swasta, klinik-klinik pengamal perubatan am serta seluruh badan-badan korporat dan swasta turut sama berganding bahu dengan memberikan sokongan, bantuan dan sumbangan yang sesuai dengan fungsi, peranan dan kemampuan masing-masing bagi memangkin peningkatan kadar vaksinasi.
Baginda juga bertitah agar jumlah vaksin dapat dibekalkan dengan jumlah yang lebih banyak oleh kerajaan persekutuan agar Kedah dapat mencapai imuniti kelompok dengan lebih awal serta sektor ekonomi dapat dipulihkan dengan lebih cepat.
Baginda juga turut menzahirkan penghargaan buat semua petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital-hospital dan pusat-pusat pemberian vaksin Covid-19 (PPV) di seluruh negeri Kedah yang sedang bertungkus-lumus menjalankan tugas yang diamanahkan. Baginda berbangga dengan kegigihan mereka menjalankan tugas tanpa penat dan lelah dan mendoakan agar pengorbanan mereka ini akan mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Tuhan.
Di samping itu, Baginda turut bertitah agar semua rakyat Kedah dapat menjaga diri dan keluarga masing-masing supaya terhindar dari dijangkiti Covid-19. Sentiasalah mengamalkan SOP dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
Dato’ Paduka Haji Bakar Bin Din
Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja