Panas!! Tengku Adnan dihukum penjara 12 bulan, denda RM2 juta

Panas!! Tengku Adnan dihukum penjara 12 bulan, denda RM2 juta

Tengku Adnan Tengku Mansor dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta dalam sabitan kes rasuah RM2 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan keputusan itu semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini.

Ketika hakim mensabitkan hukuman, Tengku Adnan melihat dari kandang pesalah.

Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Awal hari ini, mahkamah telah mendapati bekas menteri wilayah persekutuan itu bersalah atas tuduhan rasuah.

Terdahulu, peguam utama pembelaan Tan Hock Chuan semasa memohon hukuman yang ringan berkata anak guamnya adalah pesalah pertama dan kesalahan itu bukan jenayah yang sangat kejam.

 

“Anak guam saya adalah penyumbang yang besar kepada negara dan telah berkhidmat dalam kabinet dan parlimen selama 17 tahun.

“Kami memohon tidak dikenakan hukuman penjara dan hanya denda dikenakan terhadap anak guam saya.

“Saya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda kurang daripada RM2,000 untuk mengekalkan kelayakannya sebagai ahli parlimen,” katanya.

Kata Tan, mahkamah perlu mempertimbangkan majoriti tipis di Dewan Rakyat dan kerajaan sekarang akan terjejas sekiranya tertuduh hilang kelayakan sebagai ahli parlimen.

Ini mendorong pertanyaan daripada hakim Mohamed Zaini, “haruskah saya prihatin dengan perkembangan politik negara ini?”

Tan menjawab bagi mahkamah mendapati berlakunya jenayah, mahkamah tidak boleh prihatin tetapi untuk tujuan menjatuhkan hukuman, keputusan mahkamah akan memberi kesan.

“Mahkamah boleh mengambil pengiktirafan kehakiman. Kami mengatakan bahawa ia adalah faktor yang mahkamah boleh pertimbangkan. Kesannya bukan secara terasing tetapi kumulatif dengan yang lain,” katanya.

 

Peguam itu juga berkata Tengku Adnan mempunyai banyak masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, kolestrol dan masalah paru-paru.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim pula berhujah permohonan pembelaan supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda di bawah RM2,000 supaya tidak kehilangan kelayakan sebagai ahli parlimen bukan hukuman yang setimpal diberikan oleh mahkamah.

“Jumlah dalam pertuduhan adalah RM2 juta dan tertuduh sebelum ini pernah menyatakan wang RM2 juta itu hanya ‘duit poket’ untuknya.

“Tak kan nak hukuman denda RM2,000 untuk elak kehilangan kelayakan. Setiap kali pilihan raya, akan berlaku perubahan. Jika tertuduh tidak menjadi MP (ahli parlimen), maka orang lain akan berpeluang memegang jawatan dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Ditanya hakim mengenai jumlah denda yang pihak pendakwaan rasakan sesuai, Julia berkata: “Tidak kurang daripada jumlah seperti yang dipertuduhkan”.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan kes pada akhir pembelaan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang lain pada 7 Dis memberikan Tengku Adnan pelepasan yang tidak dibebaskan (DNAA) dalam satu lagi kes rasuah bernilai RM1 juta.

Menurut pertuduhan yang berkaitan dengan keputusan hari ini, Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB.

Rasuah itu diterima Tengku Adnan melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

 

Ahli parlimen Putrajaya itu didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/556028