Panas!!! Tertekan kemungkinan jadi pembangkang, Wan Fayhsal rayu Zahid timbang semula keputusan Umno
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membidas Umno yang menarik balik sokongan terhadap perdana menteri ketika negara sedang berdepan situasi kritikal.
Beliau yang juga timbalan menteri belia dan sukan berkata langkah itu tidak baik buat negara untuk melancarkan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Terdahulu, Putrajaya mengumumkan pelaksanaan program Pemulih, iaitu pakej bantuan berjumlah RM150 bilion untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.
“Secara jelasnya, Zahid tersilap dalam meletakkan keutamaannya,” katanya kepada FMT yang merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengakui Umno harus memainkan peranan lebih dominan dalam menyelesaikan isu berkaitan Covid-19 dengan membuat pelantikan penting membabitkan dua pemimpin kanan mereka.
Petang semalam, Muhyiddin melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalannya dan mengangkat Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein untuk menggantikan jawatan Ismail sebagai menteri kanan (keselamatan).
“Ismail Sabri dan Hisham membuktikan keupayaan mereka dalam memikul tugas menteri dan Umno sepatutnya berbangga dengan peranan itu,” kata ketua sayap Pemuda Bersatu yang dikenali sebagai Armada.
Awal pagi tadi, Zahid mengumumkan Umno secara rasminya menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri yang berkuatkuasa serta merta dan mahu beliau meletakkan jawatan.
Zahid membuat pengumuman itu selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi yang diadakan lebih empat jam di ibu pejabat parti itu malam tadi.
Zahid berkata kerajaan gagal memenuhi dua keperluan yang ditetapkan oleh parti untuk mereka menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Muhyiddin.
Mereka menyedari aspirasi rakyat dan keperluan dalam menangani kemerosotan ekonomi serta perlunya satu pelan berkesan dalam menguruskan pandemik Covid-19.
Sumber – FMT