Panas!!! Tok Mat anggap Muhyiddin bertindak secara tidak berpelembagaan

Panas!!! Tok Mat anggap Muhyiddin bertindak secara tidak berpelembagaan

Pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan disifatkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai tidak berperlembagaan.

Beliau berkata, tiada pengumuman rasmi, pembentangan di Parlimen dan makluman dari Istana Negara serta pewartaan  menunjukkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya menggunakan Parlimen bagi memenuhi kepentingan sendiri, bukannya kepentingan kebangsaan.

“Parlimen bukan medan persendaan, Kerajaan PN menggunakan Parlimen hanya untuk memenuhi kepentingan mereka dan bukan kepentingan nasional.

“Ordinan Darurat dilaksanakan tanpa dibentangkan di Parlimen, tidak didebatkan dan pelaksanaannya tidak dapat disemak dan imbang oleh Parlimen. Pembatalannya juga hanya dimaklumkan di Parlimen, sejak bila Parlimen hanya menjadi rubber stamp kepada keputusan Kabinet,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.

Mohamad menambah, tindakan Kerajaan PN itu dilihat sangat merisaukan yang mana  jika dibenarkan berterusan, Malaysia jelasnya menuju ke kancah stealth authoritarianism.

“Keadaan di mana dalam waktu krisis, kerajaan menggunakan undang-undang mengikut citarasa mereka. Di kala mereka wajar lebih telus, mereka melakukan sebaliknya, apa lagi bila mereka menggunakan krisis untuk melemahkan pelbagai instrumen semak dan imbang.

“Atau menggunakan krisis untuk mengukuhkan lagi kuasa eksekutif dan bukannya memperkasa kepercayaan nasional melalui pelbagai kerjasama demokratik rentas politik dan ideologi,” kata beliau.

Sementara itu, jelas beliau, pembatalan Ordinan Darurat membuktikan kebenaran pendirian UMNO sejak awal bahawa darurat adalah salah dan tidak perlu.

“UMNO telah melakukan tugasnya senafas dengan desakan rakyat menentang perisytiharan darurat, mendesak pembatalannya, mengembalikan persidangan Parlimen dan mengembalikan fungsi Perlembagaan. Pendirian UMNO yang konsisten ini telah meletakkan kerajaan PN dalam kedudukannya yang terdesak dan sangat rapuh.

“UMNO ternyata betul bahawa menggantung Parlimen dan melumpuhkan Perlembagaan bukan caranya untuk menguruskan krisis, natijahnya Parlimen mula bersidang. Pendirian UMNO juga benar bahawa menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan negara memerlukan penglibatan semua dan bukan hanya tindakan eksekutif,” katanya.

Sumber– UTUSAN ONLINE