Panas!!! Tun M anggap lantikan berstatus menteri Hadi dan Muhyiddin berunsur sogokan
Pemberian status bertaraf menteri kepada mana-mana individu yang bukan berada dalam kerajaan boleh disifatkan sebagai satu bentuk sogokan.
Kata Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, ini kerana tiada istilah seumpama itu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan negara.
Menurutnya, pada masa yang sama, tidak ada kriteria yang ditentukan atau dijelaskan bagaimana taraf menteri diberikan kepada mana-mana individu.
“Sekarang kita lihat satu amalan yang tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan. Kita dapati ramai yang dilantik ke jawatan tertentu yang tiada dalam Perlembagaan dan diberi taraf menteri.
“Tetapi apa yang kita tahu apabila taraf menteri diberikan, dia akan dapat segala kemudahan yang diberikan kepada menteri.
“Ini adalah satu jenis sogokan kerana ia tidak tertumpu kepada tugas yang hendak dilakukan sebaliknya, menumpukan kepada upahan yang dapat oleh mereka yang akan diberi taraf menteri,” katanya dalam Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Kenyataan Tun Mahathir yang juga bekas perdana menteri itu bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini ketika mengumumkan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan memaklumkan Ketua Pembangkang akan diberi saraan dan kemudahan setaraf menteri.
Sumber – AstroAWANI