Panas!!! UAE terima kunjungan presiden negara haram Israel
Presiden Israel, Isaac Herzog tiba di UAE hari ini dalam rangka lawatan diplomatik berprofil tinggi terbaharu sejak kedua-dua belah pihak memulihkan hubungan.
Menurut Kosmo Online, Herzog yang diiringi isterinya, dijadualkan menemui Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan dan Menteri Luar, Sheikh Abdullah bin Zayed Al-Nahyan, demikian menurut pejabatnya.
“Berada dalam pesawat bersama isteri saya, Michal untuk lawatan bersejarah ke UAE yang merupakan simbol keamanan antara dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di laman Twitter sebelum berlepas ke Abu Dhabi.
Herzog juga akan duduk bersama Perdana Menteri UAE dan pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum serta melawat Expo 2020 di Dubai.
Lawatan beliau berlaku sekitar 16 bulan selepas negara kaya Teluk itu mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel sekali gus menjadi negara Arab ketiga berbuat demikian selepas Mesir dan Jordan.
Duta UAE di Israel, Mohamed Al Khaja menyatakan di Twitter semalam bahawa lawatan itu sebelum ini dijadualkan pada 9 Januari lalu tetapi ditangguhkan kerana situasi Covid-19.
“Kami mengalu-alukan lawatan bersejarah ini yang akan mengukuhkan hubungan dua hala dan kami merancang untuk menandatangani perjanjian perdagangan serta ekonomi antara kedua-dua belah pihak dalam masa terdekat,” tambahnya. – AFP