Pandu uji Raptor : Rakyat terpaksa menunggu lebih lama untuk mengetahui tindakan terhadap Sanusi

Polis Pulau Pinang kini menunggu nasihat undang-undang daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) bagi menentukan tindakan seterusnya terhadap Menteri Besar Kedah.
Ia berhubung dakwaan Muhammad Sanusi Md. Nor dikatakan memandu uji kenderaan pada 5 Jun lalu di Auto City Juru, Bukit Mertajam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkan ia kepada PPN.
“Kini kita tunggu nasihat dan pandangan undang-undang PPN untuk tindakan seterunya sama ada kompaun atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas di sini hari ini.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan pihak polis membuka kertas siasatan ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor susulan dakwaan pandu uji (test drive) kereta baharu di Juru Autocity pada Sabtu lalu.
Jelas beliau, siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan/ Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan)2021.
Sumber – MalaysiaGazette