Pandu uji Raptor, Sanusi dikompaun langgar SOP
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dikompaun kerana didakwa melanggar SOP perintah kawalan pergerakan berkait pandu uji sebuah pikap di Juru, bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan, berkata jumlahnya tidak didedahkan seperti kelaziman dalam kes berprofil tinggi, dan terpulang kepada seseorang pesalah sama ada mahu menerimanya atau mempertikaikan kompaun itu di mahkamah.
“Kami telah memberi kompaun kepadanya (Sanusi) seperti diarahkan pejabat pendakwa.
“Dalam kes melibatkan VIP sebelum ini seperti Neelofa dan Siti Nurhaliza, kami juga berbuat perkara sama, dan terpulang kepada mereka jika mahu membawa ke mahkamah,” katanya ketika ditanya mengenai jumlah kompaun yang dikenakan itu.
Pada 5 Jun, seorang wanita berkongsi di Facebook, yang dia melihat Sanusi dan dua pegawainya memandu uji sebuah pikap bernilai RM211,000 di Juru Auto City.
Sanusi bagaimanapun menafikan memandu uji kenderaan itu, sebaliknya berkata beliau hanya duduk di sebelah jurujual yang memandu.
Sumber – FMT