“Panggil saya Intan, tak payah Datin” – Intan Najuwa

“Panggil saya Intan, tak payah Datin” – Intan Najuwa

 

Pelakon Datin Intan Najuwa berkata dia lebih selesa dipanggil Intan serta mengakui canggung disapa Datin selepas bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf.

Memetik BH Online, Intan berkata dia masih dirinya seperti yang dikenali ramai serta mengatakan gelaran Datin itu tidak memberi apa-apa kelebihan kepadanya.

“Saya agak canggung bila orang sudah panggil saya Datin. Saya masih Intan seperti sebelum ini yang ramai kenal. Saya fikir orang perlu kekal panggil Intan. Tak payah sapa Datin sebab tidak memberi apa-apa kelebihan kepada saya.

“Saya okay kalau orang tidak sapa saya Datin. Saya tak kisah pun gelaran itu, panggil sahaja Intan… Kawan-kawan pun saya marah. Apabila mereka sapa Datin, saya kata panggil sahaja Intan,” katanya.

Genap seminggu mendirikan rumah tangga, Intan berkata dia masih lagi menyesuaikan diri selepas bergelar isteri dan mengakui ada kalanya dia terlupa dengan status baharunya itu.

“Sebagai wanita berdikari sebelum ini, apa-apa keputusan saya buat sendiri. Tetapi sekarang saya perlu minta izin suami, kadang-kadang saya lupa perkara itu. Ibu ingatkan saya sudah bersuami. Jadi, apa-apa kena minta izin suami,” katanya.