‘Parking’ kereta luar dari pagar rumah atau rumah jiran boleh dikenakan tindakan undang-undang – MBPG

‘Parking’ kereta luar dari pagar rumah atau rumah jiran boleh dikenakan tindakan undang-undang – MBPG

 

Pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan di luar pagar rumah sehingga menyebabkan halangan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Perkara itu dimaklumkan oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menerusi hantaran muat naik di Facebook rasminya.

Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil sekiranya pihak berkuasa menerima aduan berkaitan isu halangan laluan tersebut.

“Untuk tindakan penguatkuasaan yang difokuskan atau diutamakan adalah berdasarkan aduan yang diterima oleh pihak MBPG. Ini kerana setiap aduan yang diterima perlu diberikan maklum balas dan diambil tindakan selanjutnya,” tulis muat naik tersebut.

Tambah MBPG, tindakan hanya akan diambil sekiranya menerima aduan berkaitan meletak kenderaan di luar pagar yang menyebabkan halangan.

Ia termasuk halangan kacau atau ganggu di kawasan-kawasan dan tempat awam.

“Pihak MBPG hanya akan mengambil tindakan sekiranya menerima aduan berkaitan. Antaranya seperti meletak kenderaan di luar pagar yang menyebabkan halangan dan kacauganggu di kawasan tempat awam,” tambahnya lagi.

Menurut MBPG lagi, tindakan mengkompaun kesalahan serta merta boleh dikenakan di bawah Undang-Undang Kecil Mengkompaun Kesalahan Akta Kerajaan Tempatan (MPPG) 2010.

Kadar kompaun maksimum RM500 akan dikenakan kepada mana-mana individu yang melanggar peraturan tersebut.

Selain itu, di bawah Undang-Undang Kecil Jalan, Parit Dan Bangunan (MPPG) 2011 individu yang terbabit boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000.