Parlimen bersedia bersidang bila-bila masa dari sekarang – Rashid Hasnon

Parlimen bersedia bersidang bila-bila masa dari sekarang – Rashid Hasnon

Parlimen mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat secara hibrid pada bila-bila masa jika diperlukan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon berkata, pihak Parlimen juga dalam proses memperolehi tambahan bahagian teknikal lain yang diperlukan.

“Sudah pasti cukup bersedia dan kelengkapan yang ada adalah mencukupi, kita sedang melakukan penambahan bagi melaksanakannya (persidangan secara hibrid),” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada tarikh tertentu untuk Dewan Rakyat bersidang dan ia akan mengikut Peraturan Mesyuarat yang menetapkan keperluan memberi notis 28 hari sebelum sidang bermula.

“Kita serah kepada hemat Ketua Majlis untuk pelaksanaan berikutnya,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan sidang Parlimen secara hibrid adalah norma baharu dan tidak mustahil serta akan menjadi sejarah kepada negara ketika wabak Covid-19.

“Ia juga adalah cabaran baharu kepada Speaker apabila kita akan berhadapan dengan ‘monitor’ untuk melihat Ahli-ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, jika sidang Dewan Rakyat secara hibrid diadakan, terdapat beberapa peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang perlu dipinda, contohnya proses undian dan semua pindaan yang diperlukan akan dimasukkan sebagai satu Senarai Tambahan (Addendum) kepada Peraturan Mesyuarat sedia ada.

“Satu contoh lagi, Parlimen melihat kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 62 Tatacara Parlimen.

“Pada 62(5) ada disebut Ahli-ahli yang tidak hadir di dalam sesuatu Majlis Parlimen tidak dibenarkan mengundi.

“Tetapi ia dibaca juga bersama 62(1), iaitu tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri,” katanya.

Ditanya bilangan Ahli Parlimen yang perlu hadir secara bersemuka di Dewan Rakyat jika pindaan dilakukan Rashid berkata, bilangan minimum untuk cukup korum bersidang adalah 26 Ahli Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Dewan Rakyat (dengan petua Speaker) pernah membuat ketetapan sehingga 80 maksimum (keberadaan di dalam Dewan Rakyat) tetapi jumlah sebenar dan kaedah masih diperhalusi di peringkat akhir.

Sumber : FMT