Parlimen Tambun : Asmuni nasihat Aziz, Farhash bertenang
Tindakan mengumumkan secara terbuka mahu bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bukan menjadi amalan parti politik, termasuk Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana keputusan untuk memilih calon bertanding dalam PRU15 akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti, bukannya individu, kata Datuk Asmuni Awi.
Apatah lagi, kata Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional itu, soal pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PH belum dibincangkan secara serius.
“Kita pun masih lagi belum mengadakan perbincangan serius mengenai pembahagian kerusi terutama kerusi-kerusi Parlimen.
“Cuma saya nak tekankan di sini bahawa, tidak menjadi kebiasaan dalam mana-mana parti termasuk PH untuk menyatakan bahawa seorang calon itu akan bertanding di mana, atau kerusi itu akan dipertandingkan untuk siapa dan di mana.
“Siapa dan di mana akan diputuskan oleh parti, bukan individu katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
“Walaupun saya nampak sudah ada individu-individu yang berminat menyatakan secara terbuka, tetapi sebagai sebuah parti politik, parti akan menentukan siapa dan di mana.
“Dan dalam konteks PH, insya-Allah ia akan diselesaikan dalam perbincangan dalaman,” katanya ketika ditemui semasa membuat tinjauan di Medan Selera Taman Meru di sini semalam.
Beliau mengakui ramai yang berminat untuk bertanding di Parlimen Tambun dan perkara itu biasa menjelang pilihan raya umum.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang Perak Dr Abdul Aziz Bari dan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyatakan secara terbuka hasrat untuk bertanding di Parlimen Tambun dalam PRU15.