Pas beri signal mahu kembali ke pangkuan UMNO

Pas beri signal mahu kembali ke pangkuan UMNO

Keputusan PRN telah pun diketahui ramai. Perikatan Nasional yang sebelum ini diwar-warkan sebagai saingan terkuat bagi menyaingi BN nampaknya kecundang dengan hanya mendapat 2 batu nisan.

Lebih mengejutkan, Pas yang dianggap parti terkuat dengan pelbagai kelengkapan pilihanraya termasuk tenaga kerja yang diakui setanding dengan yang dimiliki UMNO juga tewas dalam keadaan penuh hina.

Mana taknya, dari 8 kerusi yang dipertandingkan, 7 daripadanya hilang wang deposit. Walhal sebelum ini pemimpin parti tersebut mendabik dada mendakwa akan menjadi sebahagian ADUN kerajaan yang ditubuhkan kelak.

Sejurus keputusan PRN Melaka diumumkan, beberapa pemimpin Pas yang tewas dalam pemilihan baru-baru inu mengetuai kawad perutusan takziah di atas kekalahan Pas tersebut. Antara yang mendahului ucapan adalah Nik Abduh dan Khairuddin Aman Razali, mantan Menteri Sawit Anugerah Allah.

Kedua-dua mereka dipercayai antara pemimpin yang mendukung tinggi Muafakat Nasional yang digagaskan parti mereka bersama UMNO selepas menjadi pembangkang akibat tewas PRU-14 dahulu.

“Tahniah Melaka. Dari Pulau Melaka. Tahniah BN. Daripada rakan MN. Takziah Pas. Daripada Pas. BN, benar-benarlah bersyukur. Bertambahlah lagi.

“Pas, benar-benarlah bermuhasabah. Bertambahlah istiqamah,” tulis beliau.

Kenyataannya dipercayai ditujukan kepada presiden partinya, Hadi Awang yang dilihat tidak konsisten dalam mengukuhkan pakatan dalam Muafakat Nasional selepas ditawarkan pelbagai habuan oleh kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin sebelum ini.

Perkembangan mutakhir selepas kekalahan memalukan Pas kelmarin mulai memberi petanda parti tersebut bakal kembali menagih kasih UMNO.

Mursyidul Amnya, Hashim Jasin dilaporkan memberi alasan kecenderungan ahli Pas lebih kepada menyokong Muafakat Nasional berbanding Perikatan Nasional seperti dilaporkan Utusan Online.

Sekalipun Hashim memberikan jaminan tidak akan meninggalkan PN, namun dalam politik macam-macam boleh berlaku.Ini ditambah dengan kenyataan daripada Timbalan Presiden UMNO semalam mengakui UMNO masih terbuka menerima Pas kembali ke pangkuan mereka sekalipun terluka dengan tohmahan liar Hadi terhadap UMNO dalam program penamaan calon Ketua Menteri Melaka PN baru-baru ini.

Sekiranya Pas membuat pusingan-u meninggalkan PN selepas ini, maka apa yang dibangkitkan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Pas umpama ‘pelacur’ terbukti benar.