Pas berkecuali, bebas sertai PN tanpa Umno

Pas berkecuali, bebas sertai PN tanpa Umno

Ketika hubungan antara Umno dan Bersatu dilihat semakin tegang, PAS pula mengambil sikap berkecuali.

Dalam sidang media di Terengganu hari ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan kepada Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kita nak teguhkan MN dan PN,” katanya ringkas.

MN merupakan gagasan kerjasama antara PAS dan Umno dan kedua-dua parti itu juga telah menandatangani piagam secara rasmi bagi memeterai kerjasama antara mereka.

PN pula merupakan ikatan longgar diterajui Bersatu yang mentadbir kerajaan persekutuan bersama-sama Umno-BN, PAS dan dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pemimpin Umno sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Bersatu selepas jawatan ketua menteri Sabah diserahkan kepada parti itu.

Selain itu, Umno juga tidak berpuas hati apabila beberapa kubu kuatnya yang dimenangi pada pilihan raya umum 2018 diserahkan kepada mereka yang melompat menyertai Bersatu.

Selain itu terdapat gesaan daripada pemimpin Umno agar parti itu meninggalkan PN.

Untuk rekod, PAS tidak bertanding dalam pilihan raya Sabah walaupun sebelum ini menuntut diberikan kerusi untuk ditandingi.

Sementara itu, Abdul Hadi mengarahkan agar semua program parti itu ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun katanya, program yang tidak dapat dielakkan, mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung wabak itu.

Abdul Hadi juga meminta agar sambutan ulang tahun piagam Muafakat Nasional ditangguhkan.

Sementara itu, Abdul Hadi enggan menjawab kritikan berhubung cadangan agar wakil PAS dilantik sebagai wakil rakyat di Sabah.

Sumber: Malaysiakini